Integriti tidak boleh dijual beli. Malah tidak boleh diukur dalam bentuk wang atau apa juga skala. Integriti adalah inti pati teras serta zarah utama dalam menentukan watak individu dan organisasi. Tiada batas serta sempadan dalam menterjemahkan nilai-nilai integriti. Namun, ia punya ‘warna’ pemisah yang ketara; hitam itu hitam, atau putih itu putih, sama ada betul atau salah. Tiada warna kelabu apabila berbicara tentang integriti.

Untuk mempertahankan integriti, keberanian moral amat diperlukan. Tiada kompromi serta utuh berpaksi kebenaran. Individu berintegriti tinggi berdiri teguh atas prinsip kebenaran serta sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan prinsip ini. Integriti tidak terbina sekelip mata. Ia proses evolusi seumur hidup. Bermula dari benih kecil hinggalah menjadi pohon teguh memasak bumi.

Dalam sesebuah organisasi pula, integriti meresap dalam setiap aspek pentadbiran mahupun pelaksanaan aktivitinya. Integriti menjadi tunjang operasi walau berlaku perubahan terhadap pelbagaai dasar dan polisi, serta golongan pentadbirnya bersilih ganti.

Integriti ibarat kompas moral yang akan membawa individu dan organisasi mencapai apa jua yang diingini. Tiada skala ketara untuk mengukur darjah keintegritian seseorang mahupun sesebuah organisasi. Namun, terdapat indikator yang boleh diguna pakai seperti sejauh mana aktiviti yang kita lakukan itu membawa kesejahteraan kepada masyarakat.

Integriti bukan sekadar falsafah yang tertulis dalam naskhah mahupun makalah. Bukan juga lafaz kata indah memukau telinga dan minda khalayak. Bukan juga perlakuan berpura, cipta drama depan lensa kamera demi publisiti murah! Integriti perlu bermula dari hati. Dari hati ia terpancar melalui tertib minda berfikir, sopan lafaz kata, mesra perbuatan dan tindakan serta impaknya menyejahterakan alam.

Kejayaan akan datang dan pergi, tetapi integriti kekal selama-lamanya. Integriti bermakna melakukan perkara yang betul pada setiap masa dan dalam segala keadaan, sama ada orang melihat atau tidak. Membina reputasi integriti memerlukan masa bertahun, tetapi ia hanya memerlukan sekelip mata untuk runtuh musnah menyembah bumi.

Mempertahankan integriti serta sanggup berkorban nyawa deminya merupakan satu ujian yang maha hebat. Untuk individu dan organisasi, integriti bukan satu perkara yang kadang-kadang muncul ketika tertentu sahaja atau muncul ketika ada yang memerhati. Integriti adalah segala-galanya.

Total Visits: 1598530