Bagi menggalakkan persefahaman dan mengukuhkan keamanan serta perpaduan, golongan belia negara ini perlu mengutamakan dan membudayakan nilai-nilai integriti yang terkandung dalam agama yang dianuti, ulas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Haji Mua’mar Ghadafi Jamal Datuk Wira Jamaluddin ketika menghadiri Dialog Pembudayaan dan Pengukuhan Integriti Dari Perspektif Pelbagai Agama di Malaysia yang berlangsung di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI).

Majlis berkenaan yang diadakan pada 19 Disember lalu merupakan anjuran bersama INTEGRITI dengan MBM bagi membincangkan pembudayaan integriti berdasarkan perspektif pelbagai agama. Ia dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Dalam ucapannya, Dr. Ahmad Fadzli menyatakan bahawa program tersebut diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan belia tentang nilai-nilai murni yang wujud dalam agama, sekali gus menggalakkan kepada sikap menghormati penganutnya terhadap kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing.

“Konflik yang tercetus dalam masyarakat majmuk lazimnya bukan kerana agama, tetapi disebabkan kegagalan rakyat memahami nilai-nilai yang terkandung dalam agama itu sendiri,” ujar beliau lagi.

Justeru, Dr. Ahmad Fadzli berharap agar menerusi dialog ini, pengamalan dan pembudayaan nilai-nilai integriti yang terkandung dalam setiap agama dapat disuburkan, sekali gus menjadi penggerak dan pengukuhan perpaduan, kesejahteraan serta keharmonian masyarakat.

Program ini mengetengahkan enam orang panel; Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Setiausaha Agung Akademi Hindu Malaysia, Dr. M. Bala Tharmalingam, Pensyarah Unversiti Terbuka Wawasan, Dr. Teoh Hee Chong, Pengarah Eksekutif Belia Methodist Malaysia, Michael William, Penolong Profesor Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Dr. Charanjit Kaur dan Presiden Taoist Youth Malaysia, Dao Zhang Ooi Tze Tzuu dengan Naib Presiden MBM, Jufitri Joha sebagai moderator.

Dialog yang julung kali diadakan ini juga merupakan platform kepada INTEGRITI untuk memainkan peranan yang penting sebagai pusat pembudayaan dan pengukuhan integriti dalam kalangan penganut pelbagai agama di Malaysia.

Webmail Portal Kolaboratif Pusat Ilmu