Seramai 3.4 juta ahli UMNO menantikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 (PAU 2015) yang bakal diadakan pada 8 hingga 12 Disember ini bagi mengetahui hala tuju UMNO seterusnya. Para pemerhati politik turut menantikan PAU 2015 kerana pelbagai usul akan diangkat dan dibahaskan dalam memastikan kelestarian UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat diteruskan.

Pendebatan mengenai isu-isu yang berkaitan ekonomi, agama, pendidikan, keselamatan, sosial dan politik melalui pelbagai gaya persembahan turut menjadikan perhimpunan ini istimewa kepada pengikutnya.

Apa yang penulis harapkan adalah usul yang berkaitan dengan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Politik (JKNMPP) disentuh. JKNMPP yang diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Ogos lalu menunjukkan terdapatnya keazaman politik dalam kepimpinan negara dan kerajaan dalam perkara ini. Kesungguhan kerajaan dalam merealisasikan transformasi pembiayaan politik ini amatlah penting dalam usaha UMNO dan BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Kini, ramai berpendapat sebuah pilihan raya yang demokratik atau tadbir urus yang demokratik adalah satu pengharapan yang tinggi dan ideal. Politik dan pilihan raya selalunya dikaitkan dengan amalan yang kotor atau meragukan.

Sesungguhnya, perjalanan semua parti politik, badan-badan bukan kerajaan yang berkait dengan politik dan kempen pilihan raya melibatkan keperluan terhadap dana kewangan. Oleh itu, pembiayaan politik adalah satu keperluan penting dan semakin meningkat dari segi nilainya dalam proses pengamalan demokrasi moden sekarang ini.

Sesetengah orang mengaitkan pembiayaan politik sebagai wang untuk kempen pilihan raya kerana pada pendapat mereka, parti-parti politik memainkan peranan yang penting dalam kempen pilihan raya. Sebenarnya, skop pembiayaan politik adalah meluas dengan bermula dengan proses untuk mendapatkan dana sehinggalah hal-hal berkaitan perbelanjaan sesebuah parti politik.

Pembiayaan politik bukan sahaja melibatkan perbelanjaan kempen pilihan raya, sebaliknya meliputi penyelenggaran pejabat, pendidikan politik, penyelidikan dasar dan pendaftaran pengundi. Ia juga merangkumi peluang dan ruang yang diperuntukkan di dalam media seperti radio dan televisyen.
Undang-undang berkaitan pembiayaan politik bermula di Amerika Syarikat pada awal abad ke-20 dengan pelaksanaan undang-undang yang mengharamkan sumbangan syarikat kepada kempen pilihan raya. Seterusnya, proses penggubalan undang-undang berkaitan pembiayaan politik menular ke negara-negara lain.

Pada masa kini, banyak negara yang mengharamkan sumbangan daripada sumber tertentu seperti syarikat, kesatuan, negara asing dan menetapkan had siling ke atas setiap derma atau sumbangan kepada parti politik. Apa yang menariknya menurut International Institute for Democracy and Electoral Assistance (International IDEA), di Asia sehingga kini, hanya Malaysia dan Sri Lanka tidak mempunyai sebarang undang-undang bagi mengharamkan penerimaan sebarang dana atau pembiayaan politik dari negara asing.

Jika diteliti, Kanada adalah sebuah negara yang boleh dijadikan sebagai model dalam hal transformasi pembiayaan politik. Ia bermula apabila Parlimen Kanada meluluskan beberapa pindaan kepada Akta Pilihan Raya Kanada pada 1974. Transformasi ini melibatkan pengenalan had perbelanjaan untuk parti politik dan calon, mewajibkan parti-parti dan calon-calon mendedahkan punca segala sumbangan yang melebihi $100 dan juga jumlah perbelanjaan semasa kempen pilihan raya.

Turut diperkenalkan pada waktu itu adalah pembayaran balik sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya oleh parti dan calon yang memenuhi kelayakan tertentu dan menyediakan inisiatif potongan cukai bagi sumbangan kecil oleh individu.

Secara umumnya, pelaksanaan undang-undang mengenai pembiayaan politik semakin meluas di ASEAN. Sejak 1990-an, kesedaran mengenai keperluan terhadap undang-undang berkaitan pembiayaan politik timbul selari dengan pengukuhan sistem demokrasi di rantau ini. Namun begitu, sehingga kini tiada piawaian serantau atau apa-apa kerjasama sesama negara ASEAN mengenai perkara ini.

Sesungguhnya, organisasi-organisasi penting di rantau ini seperti The South Asian Association for Regional Cooperation (SAARC) dan sama ada ASEAN mahupun ASEAN+3 (termasuk Jepun, Cina dan Korea Selatan) tidak langsung menanganinya. Sebaliknya, hanya menangani isu-isu berkaitan ekonomi dan keselamatan.

Walaupun JKNMPP boleh menjadikan negara seperti Kanada, Korea Selatan, Taiwan, India dan Mexico sebagai panduan dalam menyediakan Pelan Tindakan Pembiayaan Politik, penulis percaya bahawa pelan itu kelak adalah pelan versi negara kita sendiri dan mengikut acuan rakyat Malaysia.
Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi JKNMPP sering menekankan JKNMPP adalah sebuah ‘jawatankuasa rakyat’. Jika dilihat kepada keahlian JKNMPP, tiada seorang pun yang dilantik mewakili mana-mana parti politik. Sebaliknya, majoriti ahli JKNMPP ialah aktivis dalam masyarakat, ahli akademik dan pemimpin muda.

Sehubungan itu, apa saja pelan tindakan pembiayaan politik yang bakal diserahkan kepada kerajaan selewat-ada 31 Ogos 2016, adalah suara rakyat. Ramai pihak berharap agar pelan tindakan ini dapat direalisasikan. Perdana Menteri sendiri telah memberikan komitmen tinggi dengan menyatakan sebarang undang-undang berkaitan akan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Sesungguhnya, PAU 2015 ini adalah satu landasan terbaik dalam membahaskan isu pembiayaan politik dan JKNMPP ini. Ramai ingin melihat sejauh maa akar umbi UMNO ingin menyambut JKNMPP sebagai buah tangan yang telah diilhamkan oleh Presiden UMNO sendiri sewaktu perhimpunan ini berlangsung kelak.

Penulis percaya bahawa tanggungjawab yang diberikan Perdana Menteri dan kerajaan kepada JKNMPP ini amatlah berat dan perlu diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat ini. Namun begitu, adalah menjadi harapan semua agar semua parti politik di negara ini dapat menerima transformasi politik kini dengan hati terbuka tanpa mempolitikkan usaha murni ini demi kesejahteraan dan kemakmuran negara pada masa hadapan.

Total Visits: 1594265