Penterjemahan karya agung ulama sufi seperti Jalaluddin Rumi pada abad ke-13 Masihi berupaya mengisi kekosongan jiwa dan akal budi generasi muda pada masa kini akibat pengaruh teknologi khususnya media sosial.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata terjemahan karya agung tokoh sufi yang turut diiktiraf sarjana Barat itu penting dalam mendidik generasi muda.

“Pengaruh media sosial seolah-olah mencabut akal budi dan jiwa kemanusiaan generasi muda sehingga mereka hilang hala tuju dan terjerumus ke dalam pelbagai gejala sosial.

“Imam Al-Ghazali berkata negara pada masa depan dapat dilihat berdasarkan generasi hari ini justeru sekiranya mereka tidak dididik dengan kemanusiaan dan kerohanian serta prinsip dan akal budi tinggi melalui karya agung, saya khuatir negara kita tidak akan ke mana-mana,” katanya pada Dialog dan Pelancaran Album Mathnawi di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) di sini.

Turut hadir ialah Presiden INTEGRITI, Dr Anis Yusal Yusoff; Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron; Pengarah Urusan Luncai Emas, Datuk M Nasir; Pengarah Produksi Luncai Emas, Mohd Khirin Omar dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Asyraf Wajdi yang memuji sinergi dalam melahirkan album Mathnawi oleh Kopratasa berkata, usaha itu menjadi sebahagian proses yang dapat mendidik generasi muda untuk menghargai karya agung.

Sementara itu, Mohd Khair berkata kelahiran album Mathnawi itu bukan sekadar untuk dinikmati dalam bentuk muzik, bahkan mengangkat akal budi bangsa.

Beliau berkata, selepas terjemahan Kitab Mathnawi Jalaluddin Rumi yang dilakukan ITBM pada lima tahun lalu, sinergi pintar untuk menerbitkan album Mathnawi itu diharap membawa dimensi baharu pada karya tokoh Islam tersohor itu sendiri.

“Genre buku tidak boleh kekal dalam bentuk penerbitan sedia ada saja, sebaliknya perlu disebarluaskan untuk membolehkan sesuatu karya dinikmati.

“Karya Rumi misalnya sukar difahami sehingga mendorong pihak kami menerbitkannya dalam bentuk album lagu untuk memberi ruang melalui dimensi lain untuk karya itu dilihat dengan lebih dekat,” katanya.

Penerbitan hasil kerjasama ITBM dan Luncai Emas Sdn Bhd (Luncai Emas) itu, memuatkan lima lagu daripada puisi Rumi yang diterjemah ke bahasa Melayu oleh Prof Dr Sayyid Mohamed Ajlmal Abdul Razak Al Aidrus dan dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa yang dianggotai Mohd Yusof Ahmad dan Sani Sudin.

Sumber: Berita Harian , http://hariannews.com/2016/02/16/terjemah-karya-sufi-didik-generasi-muda-asyraf/?utm_campaign=shareaholic&utm_medium=facebook&utm_source=socialnetwork

12705261_982459015184872_3460183391297618352_n 12745800_982459481851492_8532067706037621329_n 12744352_982459191851521_790038980177945373_n 12742265_982459395184834_6775910029523975504_n 12741860_982459498518157_8653728790540884895_n 12715817_982459055184868_3322151457480781411_n 12715730_982459581851482_5214883552425854595_n 12715458_982459381851502_3374497506042125044_n

Webmail Portal Kolaboratif Pusat Ilmu