Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) telah menerima kunjungan muhibbah Pesuruhjaya-pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), yang diketuai oleh YA Datuk Yaacob Mohd Sam pada 19 Mei 2016. Kunjungan ini bertujuan menjalin hubungan baik antara kedua-dua pihak serta membincangkan strategi dan aktiviti yang boleh membantu EAIC melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih berkesan.
Dalam hal ini, sejak bulan Julai 2015, INTEGRITI telah mewujudkan satu portfolio khas yang dikenali sebagai Program Agensi Penguatkuasaan sebagai portfolio tambahan kepada lapan sektor maasyarakat yang menjadi tumpuan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional. Portfolio baharu ini juga sebagai usaha kami untuk membantu EAIC meningkatkan integriti 21 agensi yang diletakkan di bawah pengawasannya.
Lebih daripada itu, INTEGRITI turut memberikan fokus kepada isu-isu pemantapan integriti dalam kalangan anggota penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.
Secara spesifiknya usaha yang telah dilakukan oleh INTEGRITI untuk membantu EAIC meningkatkan integriti agensi penguatkuasaan termasuklah pembangunan “Modul Integriti Agensi Penguatkuasaan” yang sekarang ini dalam proses semakan terakhir sebelum ia dilaksanakan. Modul ini sesuai diguna pakai oleh semua agensi penguatkuasaan yang mengandungi lima topik utama iaitu:
i) Penjagaan Imej Organisasi Penguat Kuasa
ii) Pengurusan Kewangan Pegawai Penguat Kuasa
iii) Membetulkan Yang Biasa, Membiasakan Yang Betul
– Tajuk ini berkaitan dengan pematuhan arahan dan peraturan. Perkara yang menjadi amalan harian pegawai tidak semestinya menepati peraturan yang ada.
– Oleh itu, pegawai harus memastikan perkara yang menjadi amalan seharian itu adalah selaras dengan peraturan yang telah ditetapkan.
iv) Kerja Sebagai Ibadah
v) Menginstitusikan Integriti
Selain itu, dalam perancangan INTEGRITI juga adalah untuk membuat kajian berkaitan Faktor Kegagalan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Agensi Penguatkuasaan. Hasil kajian ini akan dijadikan asas oleh INTEGRITI untuk mengemukakan kertas dasar kepada kerajaan bagi tujuan penambahbaikan terhadap sistem yang sedia ada. Ini kerana banyak kes dilaporkan melibatkan pengabaian SOP yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap Agensi-agensi Penguatkuasaan. Sebagai contoh beberapa kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dalam lokap polis yang menampakkan kelemahan SOP serta peraturan sedia ada dalam pengurusan lokap yang perlu diperbaiki.
Seperti semua sedia maklum, EAIC baru-baru ini telah membentangkan dapatan daripada siasatan mereka ke atas kes kematian Dharmendran. Begitu juga dengan kes-kes yang sama sebelum ini. Semua itu adalah untuk memperbetulkan integriti anggota agensi penguat kuasa agar mereka tidak menyalah guna kuasa.
INTEGRITI menyokong kuat usaha EAIC ke arah ini dan antara usaha tambahan sebagai sokongan, INTEGRITI akan terus melaksanakan program-program perbincangan mendalam mengenai sesetengah isu yang berkaitan termasuklah juga penelitian ke atas undang-undang sedia ada dan diguna pakai oleh Agensi-agensi Penguatkuasaan agar ia sentiasa relevan dan sesuai untuk dilaksanakan. Ini kerana ada sesetengah undang-undang boleh menyebabkan dan menggalakkan seseorang melakukan salah laku. Penelitian ini sering dibuat melalui perbincangan meja bulat dan kumpulan fokus.
INTEGRITI juga menyediakan platform untuk membincangkan isu-isu berkaitan integriti Agensi-agensi Penguatkuasaan. Dalam hal ini, INTEGRITI telah mengadakan Program Breakfast Talk yang membincangkan isu keselamatan dan kebajikan pegawai penguat kuasa ketika mereka menjalankan tugas. Laporan serta cadangan dari perbincangan itu telah diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri bagi membantu kerajaan menyediakan polisi yang lebih baik.
Selain itu, INTEGRITI juga telah mengadakan beberapa siri Dialog Khas Integriti Agensi-agensi Penguatkuasaan yang membincangkan isu-isu berkaitan penguatkuasaan. Contohnya, pada 20 April 2016, INTEGRITI telah mengadakan dialog khas yang menyentuh isu kebanjiran pendatang asing di negara ini dalam konteks bagaimana agensi penguatkuasaan menguat kuasa undang-undang tanpa perlu menyalahgunakan kuasa. Dialog khas ini telah melibatkan beberapa panel dan jemputan dari pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Persekutuan Majikan Malaysia dan lain-lain agensi yang berkaitan.
INTEGRITI merancang untuk terus mengadakan pelbagai usaha bagi menimbulkan kesedaran, terutama kepada agensi pelaksana agar integriti ditegakkan dan sebarang ruang atau peluang untuk anggota melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan integriti dapat dihindarkan.
INTEGRITI sentiasa bersedia untuk membantu semua agensi penguatkuasaan dalam penyediaan pelan integriti masing-masing, terutama dalam konteks intervensi yang diperlukan untuk menangani masalah integriti yang dihadapi jabatan masing-masing. Kami di INTEGRITI telah menyediakan pelbagai alat intervensi seperti Integrity Assessment Toolkit dan Malaysia Integrity Profile—alat menilai profail individu berdasarkan ujian psikometrik. Semua ini penting sebagai usaha kami untuk membantu usaha yang telah dibuat oleh EAIC.