cas_july_2016c cas_july_2016dKementerian Kerja Raya Malaysia telah bekerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dalam usaha untuk membangunkan Pelan Tindakan Pengukuhan Integriti Kementerian Kerja Raya (KKR) 2016-2020.

Pelan ini adalah kesinambungan daripada Pelan Tindakan Pengukuhan Integriti, Kementerian Kerja Raya Malaysia 2014-2015 yang telah tamat tempohnya. Ia bertujuan untuk memperkasakan amalan integriti yang merupakan tunjang atau teras kepada pembentukan sebuah organisasi yang maju serta seimbang dan seterusnya menyumbang ke arah kemakmuran negara.

Sebagai sebuah kementerian yang terlibat secara langsung dalam agenda pembangunan negara, amatlah penting bagi setiap individu dalam kementerian ini untuk menggalas tanggungjawab dengan penuh integriti agar dapat dinilai baik oleh masyarakat.

Seramai 35 orang warga Kementerian Kerja Raya yang mewakili setiap bahagian dan agensi di bawahnya telah hadir dan bersama-sama memberi input serta merangka program dan aktiviti yang menjurus kepada peningkatan integriti warga kementerian.

Pembentukan Pelan Tindakan Pengukuhan Integriti KKR 2016-2020 ini perlu melalui beberapa peringkat. Ia dimulakan dengan bengkel brainstorming yang bertujuan untuk mengenal pasti permasalahan integriti yang wujud dalam organisasi dan punca kepada permasalahan itu.

Bengkel brainstorming ini disusuli dengan bengkel scopping iaitu mengenal pasti strategi-strategi yang sesuai bagi menyelesaikan masalah-masalah yang telah disenaraikan. Melalui sesi ini juga para peserta dikehendaki merangka program atau aktiviti bagi menjayakan strategi yang telah ditentukan itu.

Mereka diminta untuk mengisi template yang telah disediakan oleh urus setia. Peringkat seterusnya adalah Bengkel Pemurnian Deraf Pelan Tindakan Pengukuhan Integriti KKR 2016-2020 yang telah diadakan pada 19 hingga 21 Julai 2016 yang lalu di Menara Integriti.

Menerusi bengkel ini, Deraf Pelan Tindakan Pengukuhan Integriti KKR 2016 – 2020 ini dibentangkan di hadapan beberapa orang juri bebas untuk
mendapatkan ulasan dan pandangan ke arah penambahbaikan deraf tersebut.

Para juri bebas ini didatangkan khas dari Jabatan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Audit Negara.

Deraf Pelan Tindakan Pengukuhan Integriti KKR 2016-2020 ini bakal dibentangkan sekali lagi kepada Pengurusan Tertinggi Kementerian Kerja Raya untuk mendapatkan persetujuan sebelum ia dibuku dan diterbitkan.