INTEGRITI UMUM PERSARAAN DUA AHLI LEMBAGA PENGARAH

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah kali pertama bagi tahun 2017 telah diadakan di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) pada hari ini, 7 Mac 2017. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara yang merangkap Pengerusi INTEGRITI. Dalam mesyuarat ini telah diumumkan persaraan dua Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI iaitu Tan Sri Ambrin Buang, mantan Ketua Audit Negara yang telah pun menamatkan perkhidmatan pada 22 Februari 2017 yang lalu dan Dr. Chandra Muzaffar yang akan mengundurkan diri pada 8 Mac 2017.

Tan Sri Haji Ambrin Buang telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI sejak 22 Mac 2006. Sepanjang lapan tahun tempoh perkhidmatan, beliau telah memberikan sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.  Beliau juga turut aktif di dalam forum, diskusi ilmu dan perbincangan khususnya melibatkan pengurusan dana awam serta memberikan cadangan dan lontaran idea yang pragmatik.

Dr. Chandra Muzaffar akan mengundurkan diri sebagai Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI mulai 8 Mac 2017. Sepanjang perkhidmatan beliau sejak 1 Julai 2004, iaitu selama tiga belas tahun (13) dan beliau juga aktif dalam perbincangan, forum, dan seminar yang telah  memberikan impak besar dalam pelaksanaan program-program INTEGRITI terutamanya program melibatkan masyarakat sivil dan portfolio agama seperti ‘TN50: Integriti Dalam Perayaan Pelbagai Agama’ yang diadakan pada 2 Mac 2017 baru-baru ini.

Tan Sri Ambrin dalam ucapan ringkas beliau turut menyatakan komitmen beliau untuk terus bersama-sama INTEGRITI terutamanya daripada aspek sumbangan idea dan pandangan dalam usaha memantapkan integriti negara. Perkara ini turut disuarakan oleh Dr. Chandra Muzaffar yang mempunyai harapan yang tinggi terhadap setiap usaha yang dilakukan oleh INTEGRITI dalam mendidik masyarakat dan membudayakan integriti dalam diri setiap masyarakat Malaysia.

Majlis Sekalung Budi yang diadakan oleh warga INTEGRITI turut dihadiri oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI iaitu Dato’ Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Datuk Dzulkifli Ahmad, Tan Sri Dato’ Seri Ranjit Ajit Singh, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Bin Ahmad Bajunid.

16997957_10154962724833930_2235283912493503700_n 17156228_10154962725033930_5435437044222109675_n 17190666_10154962732208930_4241191220721138119_n 17190715_10154962726033930_2018270565375768636_n 17191437_10154962724693930_3184860775777217466_n (1) 17191437_10154962724693930_3184860775777217466_n 17202689_10154962726638930_5130435124232362753_n 17202839_1319939914770112_1256292239940163769_n