Bagi membincangkan satu perkara yang cukup penting dalam   melestarikan persaingan negara untuk jangka masa panjang, INTEGRITI telah menganjurkan satu Persidangan Meja Bulat(RTD) pada 20 April 2017,menampilkan dua pembincang utama iaitu Y.Bhg Dato’ Abdul  Latif bin Haji Abu Seman, Timbalan Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan  Encik Zaky Moh, Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan & Keusahawanan, SMIDEC. Sesi perbincangan juga turut disertai oleh  wakil-wakil dari dari pelbagai kerajaan seperti MITI,Matrade,MIDA,Suruhanjaya Sekuriti, EPU, ICU dan SPRM. Turut sama dalam proses sumbang saran ialah Y.Bhg Dato’ Naim Hj Muhammad, Naib Presiden Perdasama, Dato Yusli Mohd Yusof, Presiden MICG , wakil dari ACCCIM dan wakil  DPMM.

Perbincangan sebulat suara bersetuju bahawa salah satu cara utama untuk menangani masalah rasuah dan salah guna kuasa yang boleh memberikan persepsi buruk dan seterusnya menurunkan tahap indeks persaingan negara ialah melalui  automasi seberapa banyak proses kerja bagi mengurangkan “human touch” sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara yang tinggi tahap indeks persaingannya seperti Switzerland, New Zealand dan Singapura. Selain daripada itu, proses-proses melibatkan pengeluaran lesen, permit dan peraturan-peraturan perniagaan dan pelaburan di negara kita hendaklah dilaksanakan dengan cekap, mesra pelanggan dengan tempoh masa pemerosesan yang  munasabah. Penubuhan pusat pemerosesan setempat ( one stop centre) perlu diperbanyakkan bagi mempermudahkan urusan-urusan melibatkan perniagaan.

Sesi RTD kali ini telah dimulakan dengan rakaman  Slot Wawancara Bersama Tokoh  bersama Y.Bhg Dato’ Latif Haji Abu Seman di studio INTEGRITI TV dengan Encik Anuar Haji Ahmad, Timbalan Pengarah Institusi Pentadbiran Awam bertindak sebagai Moderator.