Sesi wawancara bersama Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, disiarkan di Akhbar KOSMO! pada 2 Julai 2017

MASALAH integriti khususnya gejala rasuah membabitkan orang biasa dan individu berkepentingan sering dilaporkan media massa sejak akhir-akhir ini. Dengan begitu banyak penangkapan secara berterusan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), isu rasuah di negara ini dilihat serius serta agak membimbangkan.

Mungkin ramai beranggapan, penangkapan demi penangkapan yang dibuat SPRM secara tidak langsung akan mengurangkan masalah tersebut. Pun begitu, dari aspek pencegahan, penangkapan sahaja tidak menjamin masalah itu daripada berulang.

Gejala rasuah serta masalah integriti lain sama ada salah guna kuasa, penyelewengan serta pecah amanah perlu dibendung dari awal menerusi pendidikan dan penerapan nilai-nilai murni sejak usia kanak-kanak lagi.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad!, NOR IDAYU BOSRO bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (Integriti), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh Datuk jelaskan serba sedikit mengenai latar belakang sejarah penubuhan Integriti?

ANIS YUSAL: INTEGRITI ditubuhkan sebagai sebuah badan penyelaras dan pemantau kepada pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Agenda integriti dalam negara telah diperkenalkan pada 5 November 2003 dalam ucapan sulung Tun Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen sebagai Perdana Menteri kelima. Perumusan PIN telah didasarkan pada prinsip Wawasan 2020 secara khusus untuk memenuhi cabaran keempatnya iaitu membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai ciri-ciri moral dan etika tinggi, selain memiliki nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh serta ditunjangi budi pekerti luhur. Pelancaran PIN pada 23 April 2004 oleh Abdullah juga sekali gus melahirkan Integriti di mana matlamat akhirnya adalah membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan mempunyai nilai-nilai murni sejagat.

Selaku agensi pemantau dan pelaksana Pelan Integriti Nasional, apakah fungsi serta peranan Integriti secara amnya?

Sebagai agensi untuk mengkordinasikan, memantau dan menilai pelaksanaan PIN, kami fokus untuk menggerakkan semua lapisan dan sektor masyarakat serta negara ke arah mencapai lima Sasaran Tekad Integriti. Kami juga bermatlamat sebagai pemikir perdana berkaitan hal ehwal pengukuhan integriti negara dan berfungsi sebagai pusat rujukan integriti dalam negara dan serantau yang mempunyai rangkaian strategik serta mendapat pengiktirafan global.

Selama 13 tahun ditubuhkan, Integriti telah menganjur dan mengadakan pelbagai program dan aktiviti di seluruh daerah dan negeri, termasuk di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam usaha mempromosi dan mewujudkan kesedaran ke arah mencapai wawasan negara iaitu untuk menjadi sebuah negara yang berintegriti tinggi.

Apakah antara usaha yang dilaksanakan Integriti dalam merealisasikan objektif berkenaan?

Di Integriti, hampir setiap bulan kami menganjurkan breakfast talk untuk membincangkan isu-isu berkaitan masalah integriti berdasarkan tema tertentu supaya ia tidak disalah faham hanya sebagai masalah rasuah. Kami juga mengadakan perbincangan meja bulat yang lebih menjurus secara spesifik tentang sesuatu permasalahan di mana agensi terbabit dipanggil untuk menjawab isu berkenaan. Perbincangan penyelidikan melibatkan ahli-ahli akademik daripada universiti juga diadakan untuk membincangkan isu tersebut secara mendalam dan buat kajian supaya ada bukti empirikal. Daripada kajian itu nanti, baru boleh buat dasar yang baik untuk kita cadangkan kepada kerajaan.

Kami turut membangunkan instrumen baharu yang dipanggil Profil Integriti Malaysia berbentuk ujian psikometrik yang dapat menilai kecenderungan seseorang untuk berbuat jahat dalam usaha membendung kegiatan rasuah, terutama bagi mereka yang bertugas di bahagian berisiko tinggi. Ujian itu penting buat semua khususnya penjawat awam sedia ada dan kemasukan baharu bertujuan mengenal pasti profil dan menentukan tahap integriti seseorang penjawat awam sebelum dilantik ke jawatan tertentu. Sebagai contoh, ia penting bagi mereka yang ditugaskan di barisan depan seperti pegawai imigresen di pintu masuk negara bagi mengelak negara daripada mudah dibolosi penjenayah atau dimasuki individu yang tiada dokumen perjalanan.

Sejauh mana Datuk melihat masalah rasuah di negara ini?

Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa 2016 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI), Malaysia berada pada paras skor yang agak rendah walaupun berada pada kedudukan ke-55 daripada 176 negara. Dalam konteks kedudukan, kita boleh dikatakan antara yang terbaik berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara. Tetapi jika dilihat dari segi ukuran skor pula, tidak dinafikan Malaysia merosot kepada 49 berbanding 50 pada tahun lalu. Pun begitu, kedudukan ini sahaja tidak boleh diambil kira kerana pada permulaan indeks itu dikira, ia membabitkan 41 buah negara di mana ketika itu Malaysia berada di kedudukan nombor 23. Apabila semakin banyak negara dimasukkan dalam pengiraan indeks, kedudukan negara juga menurun.

Meskipun demikian, bagi saya, rasuah sebenarnya hanya sebahagian daripada masalah integriti dan tadbir urus kerajaan, cuma ia isu yang lebih banyak dibincangkan. Kita kena bagi orang faham bahawa integriti itu perkara yang lebih luas dan membabitkan gaya hidup. Salah guna kuasa, penyelewengan dan pecah amanah juga adalah antara isu integriti yang saling berkait.

 Bagaimana Datuk melihat masalah integriti di negara ini dapat ditangani?

Tidak dinafikan, tangkapan yang dibuat SPRM sejak akhir-akhir ini memberi impak besar tetapi masalah ini perlu ditangani dalam jangka masa panjang. Penyelesaian kepada masalah integriti tidak boleh tertumpu kepada usaha tertentu sahaja. Ia perlu sentiasa konsisten dan berterusan selain perlu didekati dengan pelbagai cara berbeza. Mengadakan peraturan sahaja tidak mencukupi jika tiada penguatkuasaan yang telus dan betul secara berterusan. Jadi, kami di Integriti berusaha untuk membudayakan integriti dalam kehidupan seharian seawal usia kanak-kanak. Sebelum itu, masyarakat perlu memahami apa itu integriti. Bagi saya, integriti adalah melakukan sesuatu perkara yang betul sewaktu tiada orang lain melihat. Anjakan paradigma pemikiran ini yang cuba kami usahakan supaya orang ramai tidak fikir masalah integriti hanya terhad kepada rasuah sedangkan isu itu lebih meluas. Selain itu, menerusi modul tertentu yang diperkenalkan, kami berharap dapat membantu menggerakkan agensi-agensi kerajaan dari segi implementasi agar ia dapat mencapai matlamatnya.

Datuk ada memberitahu bahawa Integriti terlibat dalam membantu kerajaan merangka dasar negara. Boleh perincikan sedikit mengenai perkara ini?

Integriti terlibat dalam pembuatan dasar yang membentuk kepada tadbir urus dan integriti yang lebih baik. Apa sahaja bentuk perbincangan dan penyelidikan yang dijalankan akan dibentangkan kertas dasarnya dalam kalangan lembaga pengarah. Sebagai contoh, institut ini juga berfungsi sebagai juruperunding dan Sekretariat Jawatankuasa Konsultasi Nasional Mengenai Pembiayaan Politik bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

Integriti membantu penyediaan 32 cadangan yang dibentangkan dalam kabinet dan kini dalam usaha untuk dijadikan sebagai akta supaya orang politik pun ada satu regulator untuk menjaga dan mengawal pembiayaan politik. Ini penting supaya dalam negara kita ada peraturan agar tadbir urus dan integriti ini terpelihara dan terbina. Kami di Integriti juga memantau agensi-agensi pelaksana di bawah PIN dalam merealisasikan matlamat negara berintegriti.

Akhir sekali apakah harapan Datuk ke arah mencapai wawasan negara iaitu untuk menjadi sebuah negara yang berintegriti tinggi?

Dalam usaha memerangi masalah rasuah, semua lapisan masyarakat perlu sedar dan membudayakan integriti setiap masa dan di mana sahaja. Golongan ibu bapa diseru agar jangan abaikan peranan mereka di rumah dalam menunjukkan sikap dan nilai murni yang boleh dicontohi. Guru-guru pula disaran agar menyelit nilai-nilai integriti dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pemimpin masyarakat dan ahli politik juga ada saham yang paling tinggi dalam usaha membentuk integriti kerana mereka yang menjadi contoh ikutan atau suri teladan kepada generasi masa kini. Semua perkara baik ini akan berkait dan secara tidak langsung memberi kesan menyeluruh buat semua.

Bagi saya semua harus memainkan peranan masing-masing kerana perkara ini berkait antara satu sama lain dan perlu dilihat secara menyeluruh supaya dapat mencapai matlamat. Kalau dilihat daripada satu aspek sahaja, kita akan abaikan yang lain dan ia boleh cetuskan masalah yang lebih besar pada masa depan. Kita perlu satu ekosistem yang telus dan berintegriti untuk menyokong semua usaha kita ini.

Webmail Portal Kolaboratif Pusat Ilmu