Oleh Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff

Disiarkan di Berita Harian, 22 Julai 2017

HAMPIR setiap minggu kita disajikan dengan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak tegas menangani rasuah.Persoalannya, adakah isu rasuah dilihat semakin serius atau adakah ini perkara biasa yang sudah lama wujud? Apa pun isunya, kita perlu diingatkan rasuah harus dilihat secara lebih menyeluruh, bukan hanya berkaitan sogokan duit.

Masalah kurang integriti lain, sama ada salah guna kuasa, penyelewengan serta pecah amanah perlu juga difahami sebagai perkara berkaitan hal yang dianggap dapat merosakkan sistem governans dan integriti organisasi atau masyarakat. Semua perkara ini perlu diberi perhatian dan dibendung daripada awal.

Kalau masa anak masih kecil, ibu bapa beragama Islam umpamanya, mendidik anak supaya menghindarkan makanan tidak halal seperti babi. Kenapa hari ini mereka tidak boleh tambah senarai selain babi, harus disebut juga makanan hasil atau sumber wang haram iaitu sama haram makan duit rasuah.

Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) berpegang kepada prinsip Wawasan 2020 yang disandarkan oleh Pelan Integriti Nasional (PIN) di mana secara khususnya bermatlamat memenuhi cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu membentuk masyarakat yang ada ciri-ciri moral dan etika tinggi selain nilai keagamaan dan kerohanian utuh serta ditunjangi budi pekerti luhur.

Melangkaui 2020 ke 2050, kita harus menilai semula di mana kedudukan integriti negara. Apakah cabaran baharu menanti kita pada 2050. Adakah matlamat akhir kita untuk membangunkan bangsa yang berintegriti, berdaya tahan dan mempunyai nilai murni sejagat sudah cukup atau perlukah kita fikir semula strategi dan matlamat akhir kita sebagai sebuah negara merdeka?

Perlu kerjasama semua pihak

 Sebagai agensi yang menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan PIN, INTEGRITI fokus untuk menggerakkan semua lapisan dan sektor masyarakat ke arah mencapai matlamat akhir ini. Cuma untuk mencapainya, kami tidak mampu laksanakannya sendirian. Agensi dan badan pelaksana lain yang ditetapkan dalam pelan tindakan PIN harus main peranan masing-masing.

INTEGRITI sebagai agensi pemantau dan SPRM sebagai badan yang menguatkuasa undang-undang antirasuah perlu bantuan semua pihak. Dalam usaha memikir cabaran yang menanti kita pada 2050, INTEGRITI menganjurkan siri Syarahan Perdana Tun Abdullah Ahmad Badawi bertajuk ‘Melangkaui 2020 Ke Arah 2050: Menangani Cabaran Baharu Integriti Negara’ Khamis lalu. Syarahan Perdana ini mengambil nama Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai mengenang budi beliau mengilhamkan kelahiran INTEGRITI dan PIN.

Harapan INTEGRITI agar legasi Tun Abdullah melalui program seperti ini terus dikenang dan mengetengahkan pemikiran dan wacana baharu mengenai integriti dalam bidang ilmu dan juga praktik dalam tadbir urus negara dan kehidupan masyarakat.

Siri pertama disampaikan oleh Profesor Emeritus Sosiologi Pembangunan dan Felo Utama di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong. Beliau juga adalah Felo Utama di INTEGRITI.

Fahami agenda integriti

 Cabaran kita jelas. Maka persediaan kita juga harus dimulakan dengan memahami agenda integriti dibawa PIN, iaitu pembaharuan menyeluruh, inklusif dan berjangka panjang membawa Malaysia melewati Wawasan 2020 dan melangkah seterusnya bagi mewujudkan impian mendirikan negara yang maju dari segi ekonominya, stabil dari segi perpaduannya, berakhlak mulia dan berinovasi masyarakatnya berlandaskan integriti tinggi. Ia mempunyai mesej mengandungi harapan untuk perubahan dan kemajuan jangka panjang.

Untuk memahami apa yang terkandung dalam pemikiran generasi pemimpin negara akan datang, INTEGRITI mengadakan kajian persepsi rasuah dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi baru-baru ini.

Kajian menunjukkan majoriti pelajar mempunyai tahap kefahaman tinggi mengenai perbuatan rasuah. Yang merisaukan, 35.8 peratus responden berpandangan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan bukan kesalahan rasuah.

Seramai 28.1 peratus responden beranggapan tidak salah untuk mengambil harta atau barangan pejabat untuk kegunaan peribadi, manakala 37.3 peratus responden beranggapan mengemukakan tuntutan bagi tugas luar walaupun penginapan disediakan penganjur adalah bentuk kesalahan.

Seramai 20.6 peratus responden pula anggap ‘terbabit secara langsung dalam proses pelantikan ahli keluarga untuk mengisi jawatan kosong di jabatan’ sebagai perbuatan dibolehkan.

Hasil kajian ini jika dijadikan kayu ukuran memerlukan kita untuk menyemak semula nilai yang dididik dalam kalangan mahasiswa. Mungkin ia sudah bermula dari sekolah rendah. Kita khuatir sekiranya melihat kepada dapatan kajian ini kerana mahasiswa akan memasuki alam pekerjaan, menjadi pemimpin di tempat kerja dan dalam komuniti. Sekiranya ini pandangan mahasiswa, bagaimana mereka yang bukan mahasiswa?

Hasil kajian ini perlu diberi perhatian sewajarnya agar generasi muda mampu menggalas tanggungjawab lebih baik. Mereka adalah harapan masa depan negara, bahkan merekalah tenaga penggerak dan pemimpin Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Semua pihak harus memainkan peranan kerana perkara ini berkait antara satu sama lain. Kalau dilihat daripada satu aspek sahaja, kita akan abaikan yang lain dan ia boleh mencetuskan masalah lebih besar nanti. Kita perlukan satu ekosistem telus dan berintegriti untuk menyokong semua usaha kita, terutama dalam menjayakan TN50.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI)

Webmail Portal Kolaboratif Pusat Ilmu