Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) telah mengadakan program turun padang iaitu “Roadshow Integriti 2017” pada 15 Ogos 2017 yang lalu.  Bermula dengan negeri Selangor, program siri jelajah 14 negeri di seluruh negara ini merupakan satu platform penting untuk mengumpulkan maklumat di peringkat negeri untuk perancangan Hala Tuju Fasa Ketiga Pelan Integriti Nasional (PIN).

Data yang dikumpul akan dimuat naik dalam satu sistem yang dibangunkan oleh INTEGRITI yang dinamakan “Dasboard Integriti”, satu paparan dalam bentuk pembangunan analisa yang informatif dan interaktif. Segala maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri dapat dikongsikan bersama bagi tujuan rujukan dan tindakan agensi pelaksana. Dashboard ini juga akan memberikan kemudahan secara mendalam kepada agensi pelaksana bagi tujuan mengenal pasti sebarang ketidakberkesanan atau boleh menjangkakan perubahan trend sesuatu program.

INTEGRITI melihat inisiatif ini sebagai salah satu mekanisma untuk membantu negeri-negeri menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti. Kaedah ini akan memperlihatkan dengan lebih jelas apakah isu-isu yang ada atau wujud dalam negeri masing-masing terutama yang melibatkan integriti. Malah dengan maklumat yang ada pihak berkaitan di negeri dapat mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan tahap integriti di negeri masing-masing.

Pengumpulan data juga turut dibuat berdasarkan fakta-fakta sekunder yang diperoleh melalui dapatan Kajian Persepsi Integriti Nasional (KPIN), Laporan Ketua Audit Negara, Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Laporan Tahunan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, laporan media massa dan juga di media sosial.

Dalam usaha untuk membudayakan agenda integriti, INTEGRITI juga akan menggunakan platform ini sebagai satu ruang untuk berkongsi tentang program-program integriti atau kaedah baru selain daripada program berbentuk ceramah kepada pihak kerajaan negeri. Antaranya program seperti Breakfast Talk Integrity, Roundtable Discussion (RTD), Research Discussion dan Integrity Art Night (IAN).

Roadshow Integriti 2017 turut memperkenalkan produk, instrumen dan penerbitan INTEGRITI iaitu; 1)Integrity Assessment Tools (IAT), satu kaedah untuk meningkatkan dan memperkukuhkan eko-sistem integriti dalam organisasi. Penilaian boleh mengenal pasti pembaharuan dan keutamaan untuk mengukuhkan sistem tadbir urus, mencegah, mengesan serta mendakwa salah laku integriti. 2)Malaysian Integrity Profile (MIP) dibangunkan untuk mengenal pasti tahap kecenderungan seseorang individu untuk menjadi jujur dan konsisten dari segi tindakan, nilai dan juga prinsip. 3)Pelan Integriti Organisasi (PIO) satu pelan integriti yang digubal untuk membantu agensi membangunkan strategi integriti korporat secara menyeluruh. Pelan ini dilihat dapat mengenal pasti masalah dan memperbaiki jurang terutama dalam pelaksanaan tugas dan penyampaian perkhidmatan. 4)Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (PIBK), merupakan pendekatan untuk memperbaiki sistem penyampaian melalui penglibatan komuniti atau pekerja syarikat berdasarkan prinsip pembudayaan integriti. Ianya juga adalah pendekatan secara kolaborasi antara rakyat/pekerja dengan organisasi (kerajaan/swasta) dengan memulakan inisiatif mereka sendiri.

Roadshow Integriti yang bermula di Negeri Selangor ini telah dirasmikan oleh Ybhg. Dato’ Mazalan  bin Md Noor, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Selangor, bertempat di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam Selangor.

Melalui siri program “Roadshow Integriti 2017” yang diadakan ini akan dapat memberi gambaran jelas dan membantu pihak Kerajaan Negeri dalam perencanaan program atau aktiviti integriti di masa hadapan agar lebih tersusun, terarah dan sistematik serta menyelesaikan masalah pelanggaran integriti di negeri secara amnya.