INSTITUT Integriti Malaysia (INTEGRITI) mengambil pendekatan turun padang dengan menganjurkan program “Roadshow Integriti 2017”, yang akan melibatkan kesemua negeri di Malaysia, dengan sesi terbaru telah berlangsung di Kuching, Sarawak hari ini.

Roadshow Integriti 2017 merupakan salah satu mekanisme INTEGRITI untuk membantu kerajaan-kerajaan negeri menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti selaras dengan Pelan Integriti Nasional (PIN), di mana ia dapat memberi gambaran jelas dalam perencanaan program atau aktiviti integriti agar lebih tersusun, terarah dan sistematik serta meninggalkan kesan dan impak yang menyeluruh ke atas kumpulan sasaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, dalam usaha untuk membudayakan agenda integriti, INTEGRITI menggunakan Roadshow Integriti 2017 untuk berkongsi program-program integriti atau kaedah-kaedah baharu, selain memperkenalkan produk dan instrumen yang dibangunkan oleh INTEGRITI iaitu Integrity Assessment Tools, Malaysian Integrity Profile, Pelan Integriti Organisasi dan Pembangunan Integriti Bersama Komuniti.

Kata beliau, menerusi Roadshow Integriti 2017 segala maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri akan dimuat naik dalam sistem yang dinamakan sebagai “Dashboard Integriti”, yang merupakan satu paparan dalam bentuk pembangunan analisa yang berinformatif dan interaktif.

Melalui sistem itu, maklumat yang disediakan dapat dikongsi bersama bagi tujuan rujukan dan tindakan agensi-agensi pelaksana. Selain itu, data ‘dashboard’ ini juga akan memberi kemudahan secara mendalam kepada agensi-agensi pelaksana untuk mengenal pasti sebarang ketidakberkesanan atau boleh menjangkakan perubahan trend sesuatu program.

Datuk Dr. Anis yakin Roadshow Integriti 2017 akan memperlihatkan dengan lebih jelas tentang isu-isu yang ada atau wujud di negeri masing-masing yang melibatkan integriti. Malah dengan maklumat yang ada, pihak-pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan tahap integriti di negeri masing-masing.

“INTEGRITI menghargai sokongan yang diperlihatkan oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam memperkukuh budaya berintegriti tinggi. Penganjuran bersama Roadshow Integriti 2017 adalah satu contoh. Justeru kami mengalu-alukan pandangan dan cadangan bernas yang berterusan,” kata beliau.

Datuk Dr Anis juga berkata, Roadshow Integriti 2017 juga merupakan pendekatan “komunikasi dua hala” kerana bukan sahaja mengenal pasti isu-isu integriti dan mencari jalan penyelesaian di setiap negeri, yang berbeza dari segi sifat dan keunikan tersendiri, malah satu platform penting untuk mengumpulkan maklumat bagi perancangan Hala Tuju Fasa Ketiga Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diperkenalkan pada tahun 2004.

“INTEGRITI kini dalam proses menggubal fasa ketiga PIN. Sehubungan itu INTEGRITI memerlukan pandangan dan input daripada rakyat di peringkat akar umbi di setiap negeri. Kami amat berharap rakyat pelbagai peringkat akan memberi sokongan yang membina dalam proses menyediakan hala tuju fasa ketiga PIN,” kata beliau pada program Roadshow Integriti 2017 hari ini.

Program Roadshow Integriti 2017 hari ini diadakan dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak. Ia yang berlangsung di Galeri TM, Dewan Pustaka Negeri Sarawak, Kuching telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak. Beliau diwakili oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Yang Berhormat Datuk Haji Talib Zulpilip.

Dalam pada itu, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Johari menyeru semua pihak tidak mengira kedudukan dan latar belakang agar sama-sama membantu mendukung amanah dalam memastikan setiap tindakan adalah berlandaskan prinsip integriti yang sewajarnya.

Justeru, kata beliau, pemahaman, pengamalan, penghayatan dan juga pembudayaan integriti amat perlu dilaksanakan.

“Hakisan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam dan komuniti akan merencatkan kelancaran pentadbiran.

“(Oleh itu) pembudayaan integriti bukan sahaja jatuh pada bahu institusi pentadbiran sahaja, tetapi juga memerlukan penyertaan mantap daripada institusi agama, institusi ekonomi, institusi politik, institusi keluarga, institusi sosiobudaya, institusi komuniti dan badan bukan kerajaan,” kata Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Johari dalam ucapan perasmiannya.

Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Johari berkata, inisiatif seperti Roadshow Integriti seharusnya dilaksanakan dengan kerap agar pembudayaan integriti secara konsisten dapat diterapkan dalam diri setiap individu.

Penganjuran program ini bermula di Shah Alam, Selangor bulan lalu. INTEGRITI akan mengadakan program ini di negeri-negeri lain dalam waktu terdekat.

Webmail Portal Kolaboratif Pusat Ilmu