INSTITUT Integriti Malaysia (INTEGRITI) menerbitkan dokumentari Jejak Mat Kilau bersempena sambutan Hari Malaysia. Dokumentari berdurasi 30 minit ini dilancarkan pada program Integriti Dalam Sejarah oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Mengangkat tema “Integriti, Patriotisme dan Rekreasi”, penerbitan dokumentari ini bertujuan untuk memahami secara mendalam mengenai integriti dan pembentukan nilai jatidiri melalui pengkisahan sejarah kepahlawanan silam yang berfokuskan kepada sejarah kepahlawanan Mat Kilau.

Sifat perjuangan Mat Kilau yang mempunyai nilai integriti seperti tanggungjawab, taat setia dan keikhlasan  merupakan asas utama dalam perjuangan mempertahankan tanah air.

Dokumentari ini membawa kita ke sudut sejarah yang berbeza iaitu merakamkan laluan yang pernah dilalui oleh Mat Kilau semasa perjuangan beliau menentang pihak Bristish.

Majlis pelancaran ini turut disiarkan secara langsung di laman rasmi Facebook INTEGRITI.

Sempena majlis pelancaran hari ini, sesi dialog bertajuk “Mat Kilau: Penentang atau Pejuang? – Perspektif Integriti” turut diadakan. Ia menampilkan Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia; Prof. Madya Dr. Mohd. Samsudin, Ketua Program Sejarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan, Wan Mohd. Rosli Wan Ngah, Setiausaha  Persatuan Sejarah Terengganu (Delegasi Konservasi Kubu Mat Kilau) sebagai ahli panel. Moderator program ini adalah Nazri Kahar, Penerbit Eksekutif Astro Awani.

Dalam ucapan pelancaran, Datuk Dr. Anis berkata, penghasilan dokumentari tokoh sejarah Malaysia amat penting untuk generasi kini dan akan datang.

Kata beliau, generasi muda perlu memahami sejarah dan menghayati perjuangan Mat Kilau semasa hayatnya.

“Sifat Mat Kilau yang jujur, setia pada perjuangan dan tegas, menjadikan beliau sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya.

“Inilah antara elemen integriti yang menjadi intipati pengisian dokumentari Jejak Mat Kilau,” katanya.

INTEGRITI melihat perlunya setiap rakyat Malaysia khususnya golongan muda agar mempelajari sejarah supaya kita dapat membina semangat patriotisme terhadap negara.

“Perkara yang menjadi kerisauan ialah kegagalan untuk memahami sejarah boleh membawa kepada kegagalan untuk merancang serta menentukan hala tuju negara. Kita tidak mahu ikon sejarah seperti Mat Kilau kian dilupai oleh generasi muda hari ini,” kata Datuk Dr. Anis.

Dalam pada itu, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul menyifatkan langkah INTEGRITI menerbitkan dokumentari Jejak Mat Kilau sebagai satu usaha dan pendekatan membina bagi mempelajari sejarah negara.

“Usaha yang diambil INTEGRITI telah memberi nilai tambah kepada kaedah penyampaian sejarah, khususnya dalam memahami aspek dan nilai integriti,” kata beliau sambil menambah, integriti bukan sahaja perlu ada pada diri seseorang tetapi pada fakta sejarah itu sendiri.

Sehubungan itu beliau berharap INTEGRITI akan mengambil langkah yang sama membabitkan tokoh-tokoh lain yang telah memperjuangkan kemerdekaan negara.

Prof. Madya Dr. Mohd. Samsudin yang turut menghargai usaha INTEGRITI memberitahu dokumentari ini telah memperlihatkan satu daya tarikan atau “wow factor” dalam menyampaikan mesej sejarah kepada kumpulan sasaran.

“Saya menghargai usaha INTEGRITI,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohd. Rosli berpandangan bahawa INTEGRITI telah mengambil satu usaha yang luar biasa bagi menghargai sumbangan tokoh-tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

“INTEGRITI bukan sahaja membawa kita kepada sejarah dalam bentuk yang lain, tetapi juga mencatatkan satu detik bersejarah hari ini. Apa yang kita lihat hari ini di sini adalah satu sejarah pada hari kelak,” kata beliau.

Penggambaran dokumentari ini melibatkan peserta seramai 21 orang yang melibatkan kakitangan INTEGRITI, dan wakil dari Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Lembaga Pembangunan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan  Pejabat Daerah dan Tanah Dungun. Usaha ini turut dibantu oleh Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Berhad, Angkatan Pertahanan Awam Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Webmail Portal Kolaboratif Pusat Ilmu