“RASUAH wujud bukan kerana gaji rendah, tetapi kerana rendahnya integriti”. Demikian rumusan yang dilontarkan oleh Felow Utama Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong. Beliau seterusnya meletakkan persoalan pada sesi Dialog Khas INTEGRITI Agensi Penguat Kuasa pada 10 Oktober 2017, “Apakah gaji tidak penting?” “Gaji itu penting, perlu. Tetapi tidak semestinya gaji rendah menyebabkan rasuah meningkat,” kata beliau yang turut menyarankan agar “pendekatan modal insan dan program pemupukan budaya berintegriti secara komprehensif” melibatkan semua lapisan masyarakat dititikberatkan.

Dalam pandangan itu, beliau turut merujuk kepada Modul Integriti Prasekolah (MIPs) yang dibangunkan oleh INTEGRITI. Katanya “perlu ada modul seperti itu untuk peringkat sekolah dan universiti dan seterusnya.” Beliau merupakan salah seorang daripada tiga ahli panel yang mengupas tajuk “Mampukah Kenaikan Gaji Penguat Kuasa Menyelesaikan Masalah Rasuah?” Dialog dianjurkan oleh Kluster Pentadbiran & Agensi Penguatkuasaan. Dua ahli panel turut berkongsi pandangan adalah Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Yang Arif Datuk Yaacob Md Sam dan Ketua Jabatan Pengurusan Awam, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia, YBrs Dr Nur Syakiran Akmal Ismail. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg Datuk Dr Anis Yusal Yusoff bertindak sebagai moderator. Menjawab pandangan itu, Datuk Dr Anis memberitahu, perlu ada modul di sekolah rendah dan menengah.

“INTEGRITI ada engagement dengan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan, Kementerian Pendidikan. Cadangan INTEGRITI untuk sekolah rendah dan menengah adalah, untuk guru-guru dilatih dan di hujung pengajaran mereka, harus dimasukkan nilai-nilai murni, tidak kira apa subjek diajar,” kata beliau. Datuk Yaacob juga berkata, kerajaan perlu memberi penekanan ke atas aspek kebajikan kakitangan awam khususnya mereka yang berkhidmat di agensi-agensi penguat kuasa. Katanya, “antara komponen penting adalah modal insan… nilai integriti diterapkan.” “Pembinaan modal insan ditekankan… dan pelan integriti, ia memerlukan usaha yang berterusan,” kata beliau. Dr Nur Syakiran yang mengupas dengan menjelaskan definisi rasuah dari pelbagai sudut memberitahu, “gaji bukan faktor utama berlakunya rasuah.” “Kajian-kajian awal ke atas penjawat awam menunjukkan soal gaji bukan faktor utama rasuah. Faktor utama adalah tingkahlaku yang tidak bermoral. Rasuah berlaku disebabkan ruang dan peluang di sekeliling kita.”

Selain itu katanya, rasuah berlaku kerana faktor “kuasa” yang ada pada seseorang termasuk dalam kalangan anggota agensi berkuat kuasa tidak kira kedudukan dan pangkat. Beliau juga melihat rasuah wujud kerana “gaya hidup” seseorang. Datuk Dr Anis yang turut berkongsi fungsi dan pencapaian INTEGRITI bagi memberi gambaran menyeluruh kepada para hadirin berkata, sesi dialog seterusnya akan memfokus aspek sumber manusia dan modal insan kerana apa yang dibincangkan semalam ada hubungan dengan aspek sosioekonomi yang lain. Pada majlis dialog tersebut, beliau turut menyampaikan cenderahati khas kepada Datuk Yaacob atas kerjasama padu yang diberikan kepada INTEGRITI sejak menerajui EAIC. Tanggal 14 Oktober ini adalah hari terakhir tempoh perkhidmatan kesemua pesuruhjaya EAIC dan Datuk Yaacob akan kembali sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Malah, Datuk Dr Anis juga menyatakan komitmen untuk membantu Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperkukuh budaya berintegriti dalam kalangan anggota dan pegawai agensi itu.

 

Total Visits: 1136782