Bersempena penganjuran Dialog Integriti ASEAN 2017 (AID 2017)  akhir bulan ini, Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) telah mengadakan program ramah mesra high-tea bersama perwakilan asing rantau ASEAN di Menara INTEGRITI, hari ini.

Sesi ini juga diadakan bagi berkongsi maklumat tentang usaha-usaha pemantapan integriti di Malaysia dan di negara-negara ASEAN.

Sesi pertemuan ini juga diadakan selari dengan pendekatan INTEGRITI merealisasikan output keempat sebagai pusat rujukan integriti dalam negara dan serantau yang mempunyai rangkaian strategik dan mendapat pengiktirafan global.

Suruhanjaya Tinggi Singapura diwakili oleh Setiausaha Pertama (Politik), Rifdi Rafiuddin Mohd Ridwan, manakala Kemboja pula oleh Kaunselor Komersialnya Thouk Much Theary dan Laos diwakili Timbalan Ketua Misi Bounthan Kousonsanong. Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Jojie Samuel juga hadir sama.

Selain memberi taklimat mengenai fungsi dan usaha diambil INTEGRITI, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg Datuk Dr Anis Yusal Yusoff mengambil peluang menjelaskan objektif AID 2017 yang akan berlangsung pada 26 Oktober ini.

AID 2017 merupakan kali ketiga dianjurkan oleh INTEGRITI. Dua pertemuan sebelum ini telah berlangsung pada tahun 2008 dan 2015.

Dalam pada itu, Jojie menyambut baik pertemuan ini dan usaha INTEGRITI menganjurkan AID memandangkan ASEAN, khususnya ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dua tahun yang lalu, ada menekankan keperluan mengadakan tadbir urus yang baik dalam melahirkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Datuk Dr. Anis juga mengambil kesempatan mengundang kesemua kedutaan dan suruhanjaya tinggi negara-negara ASEAN hadir sama bagi menjayakan AID 2017.

 

 

Webmail Portal Kolaboratif Pusat Ilmu