KUALA LUMPUR: Roadshow Integriti 2017 di Kuching, Sarawak, hari ini, antara pendekatan dua hala Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dan kerajaan negeri mengumpulkan maklumat, meneliti isu dan penyelesaian integriti penjawat awam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, berkata program integriti dan perkongsian kaedah integriti baharu membabitkan semua negeri di seluruh negara kali pertama diadakan di Shah Alam, Selangor, Ogos lalu sebelum akan diperluaskan ke negeri lain, hujung bulan ini.

Katanya, maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri akan dimuat naik dalam sistem pembangunan analisis interaktif, Dashboard Integriti.

Beliau berkata, data program akan digunakan untuk tujuan perancangan Hala Tuju Fasa Ketiga, Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diperkenalkan pada 2004, selain dikongsi untuk rujukan bersama dan tindakan agensi pelaksana.

“Data ‘dashboard’ akan memberi kemudahan kepada agensi pelaksana mengenal pasti masalah, ketidakberkesanan atau membuat ramalan perubahan trend sesuatu program.

“Kita berharap pengumpulan maklumat ini dapat membantu pihak berkaitan mencari jalan penyelesaian terbaik meningkatkan tahap integriti di negeri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Anis berkata, pihaknya turut memperkenal produk dan instrumen dibangunkan iaitu Sistem Penilaian Integriti, Profil Integriti Malaysia, Pelan Organisasi Integriti dan Pembangunan Integriti Bersama Komuniti.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan cadangan meningkatkan budaya kerja berintegriti tinggi menerusi pendekatan turun padang berkenaan.

“Ketika ini, INTEGRITI sedang menggubal fasa ketiga PIN dan memerlukan pandangan serta input daripada rakyat peringkat akar umbi di setiap negeri. Kami berharap rakyat pelbagai peringkat akan memberi sokongan membina dalam proses menyediakan hala tuju fasa ketiga PIN.

“Kita turut menghargai sokongan kerajaan negeri memberikan kerjasama kepada usaha INTEGRITI membantu mereka menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti,” katanya.

Terdahulu, Program Roadshow Integriti 2017 dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, dirasmikan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip, mewakili Ketua Menteri Sarawak.

Sementara itu, Johari menyeru semua pihak tidak mengira kedudukan dan latar belakang berganding bahu mengamalkan, membantu, menghayati dan mendukung pelaksanaan tindakan berlandaskan prinsip integriti.

“Hakisan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam dan komuniti akan merencatkan kelancaran pentadbiran.

“Pembudayaan integriti bukan sahaja jatuh pada bahu institusi pentadbiran sahaja, tetapi juga memerlukan penyertaan mantap daripada institusi agama, institusi ekonomi, institusi politik, institusi keluarga, institusi sosiobudaya, institusi komuniti dan badan bukan kerajaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/322088/roadshow-integriti-teliti-isu

Webmail Portal Kolaboratif Pusat Ilmu