Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) menganjurkan Program Integriti Bersama Peniaga “Saya Peniaga Berintegriti” di Hotel Berjaya Waterfront Johor Bahru hari ini.

Program ini diadakan bagi memberi pemahaman dan kesedaran kepada para peniaga tentang kepentingan etika perniagaan dan tadbir urus yang baik dalam urusan perniagaan.

Program berbentuk dialog dan bual bicara ini menampilkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBhg. Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, YBhg. Amran A. Rahman. Sesi dikendalikan oleh DJ Dave dari Radio Johor FM.

Lebih 300 peserta yang terdiri daripada pelbagai pihak, termasuk peniaga Pasar Kampung Melayu, Pasar Borong Pandan, peniaga gerai makan dan jualan serta peniaga pasar malam dan pasar tani, mengambil bahagian dalam program hari ini.

Usaha ini diadakan selari dengan objektif Pelan Integriti Nasional (PIN) yang memfokus ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang beretika dan berintegriti.

INTEGRITI mengucapkan terima kasih atas usaha pihak MBJB mengadakan program ini bagi membawa mesej budaya berintegriti kepada kumpulan peniaga di kawasan pentadbiran mereka.