KANGAR, 30 Januari 2018: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar budaya integriti dijadikan benteng terakhir ummah bagi melahirkan masyarakat berintegriti tinggi, sekali gus “mensejahterakan kita semua.”

Baginda bertitah punca permasalahan kepada semua isu atau masalah yang wujud pada hari ini adalah kerana sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, tidak amanah dan tidak berintegriti.

“Alhamdulillah, kita dihimpunkan untuk membicarakan satu topik yang sangat penting bukan sahaja untuk masa ini, tetapi lebih penting untuk kita fahami, dalami dan hayati sebagai amalan harian kita semua bagi menentukan kesempurnaan dan keutuhan akhlak keperibadian yang berintegriti pada masa hadapan.

“Titah pesanan saya ini, adalah juga pesanan pada diri saya sendiri, agar integriti yang ingin kita bicarakan menjadi amalan dan budaya kita semua,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penutup Roadshow INTEGRTI peringkat Perlis di Pusat Koreksional Negeri Perlis pada 30 Januari 2018. Ini julung kali Roadshow INTEGRITI yang dimulakan pada Ogos 2017 menyaksikan Titah Integriti Diraja.

Program Roadshow INTEGRITI peringkat Negeri Perlis dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dengan kerjasama Pejabat Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Ahmad Zakaria dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KUIPs, Dr. Mohd Mizan Mohammad Aslam.

Baginda seterusnya menegaskan, “persoalan penting dalam tema ini yang harus kita tanya adalah – apakah signifikannya membudayakan integriti dengan kesejahteraan komuniti?”

“Adakah amalan integriti menjadi syarat utama untuk sesebuah komuniti mencapai tahap kesejahteraan?” titah baginda.

Untuk menjawab persoalan itu, Raja Muda Perlis bertitah, elok sekiranya kita lihat masalah-masalah yang ada di sekeliling kita dan apa punca yang menyebabkan masalah-masalah ini daripada berlaku.

“Saya ingin mengambil contoh daripada perkara-perkara yang dekat dengan rakyat. Sebagai contoh yang pertama, apabila kita melihat sampah sarap yang tidak dikutip oleh kontraktor yang sepatutnya mengutip sampah,” titah baginda.

Akibatnya, titah baginda, komuniti setempat terpaksa hidup dalam kawasan yang jijik dan kotor dengan sampah sarap yang tidak dikutip hanya kerana seorang dua pihak yang mengambil kesempatan daripada kedudukan mereka. Kualiti hidup terjejas dan kesejahteraan rakyat tersekat.

“Satu lagi contoh yang ingin saya kemukakan untuk renungan kita bersama adalah bagaimana agaknya sekiranya sempadan negara kita dijaga oleh orang-orang yang tidak amanah dan tidak berintegriti? Kita mendengar tentang pelbagai angkara akibat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan sempadan kita dibolosi oleh pelbagai pihak.

“Yang merisaukan kita adalah akibat perbuatan segelintir yang mungkin ‘menutupkan mata’ mereka seketika sewaktu bertugas mungkin kerana telah disogok, boleh menyebabkan pelbagai anasir jahat menyelinap masuk ke dalam negara.

“Tidak kira sama ada orang yang mengambil kesempatan daripada pemerdagangan manusia, pelacuran, dadah, senjata api dan bermacam lagi perkara yang akhirnya menyumbang kepada kemudaratan rakyat jelata,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga bertitah bahawa apa yang baginda cuba ketengahkan itu adalah permasalahan yang mungkin dilihat sebagai perkara kecil bagi sesetengah pihak tetapi sekiranya setiap rakyat meneliti dengan lebih mendalam akan dapat melihat impak yang besar kepada kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian rakyat di negara ini.

“Semua ini sekiranya tidak dibendung dari awal, sudah pasti ia akan menyumbang kepada masalah dan malapetaka yang lebih besar.”

Sehubungan itu, baginda mahu setiap anggota masyarakat sama-sama kembali kepada ajaran agama masing-masing bagi mencapai melahirkan masyarakat berintegriti dan mensejahterakan rakyat.

“Bagi orang Islam sudah tentu kita perlu menghayati al-Quran dan Sunnah Rasul.

“Tidak kira apa jua agama yang kita anuti, setiap daripada kita perlu memainkan peranan yang menyeluruh untuk menyemai nilai-nilai murni yang ada dalam ajaran agama masing-masing demi melahirkan satu komuniti yang berintegriti, selaras dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara,” titah baginda.

Menurut baginda, hanya dengan kembali berpandu kepada ajaran agama yang sebenar, negara dapat melahirkan insan-insan yang bertakwa dan mengamalkan kebaikan di muka bumi ini.

“Semoga pembudayaan integriti dalam kalangan rakyat akan mensejahterakan kita semua,” titah baginda.

Raja Muda Perlis seterusnya menasihatkan, “seperti kata Imam Al-Ghazali yang memperincikan sebahagian akhlak mulia sebagai penyabar, lemah lembut, bersyukur, redha, ikhlas, murah hati, berkata benar, jujur, amanah dan bertanggungjawab.”

“Walau bagaimanapun Al-Ghazali akhirnya menyimpulkan bahawa keindahan akhlak itu adalah iman, dan keburukan akhlak itu adalah sifat munafik.

“Hadis Al-Hakim diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahhuanhu menjelaskan yang bermaksud, Rasulullah Subhanahu Wa Ta’ala bersabda: ‘Kemuliaan seorang
mukmin terletak pada penghayatan agamanya, harga dirinya terletak pada kecerdasan akal fikirannya dan kehormatannya terletak pada kebaikan budi pekertinya’.”

Malah dalam titahnya, baginda berkata, punca kepada semua masalah pada hari ini adalah kerana sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, tidak
amanah dan tidak berintegriti.

“Akibatnya, negara boleh hancur, punah dan musnah.”

Oleh kerana itu titah Raja Muda, bagind amat gembira melihat usaha INTEGRITI yang mula turun ke peringkat akar umbi untuk berkongsi pengalaman dan instrumen yang telah mereka bina, agar rakyat di negeri seperti Perlis ini juga akan mendapat manfaat daripada usaha untuk membina negara bangsa berintegriti.

“Seperti yang telah saya titahkan sebentar tadi, integriti memainkan peranan yang amat signifikan dalam kesejahteraan komuniti, terutama bagi
Malaysia yang mempunyai komuniti pelbagai etnik dan agama.

“Tanpa integriti, bukan sahaja komuniti akan porak peranda dan kacau bilau malahan segagah manapun empayar yang dibina akan tumbang sepertimana
pengajaran yang dizahirkan dalam sejarah empayar Rom, Parsi, Sriwijaya hatta empayar Melaka satu ketika dahulu.

“Justeru itu dalam konteks membudayakan integriti pelbagai institusi dalam negara, saya ingin menyeru agar semua pihak, terutamanya komuniti setempat
haruslah turut sama melaksanakan peranan masing-masing dalam menjadikan integriti amalan murni yang sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian.”

Sempena program Roadshow INTEGRITI, INTEGRITI dan KUIPs menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membentuk kerjasama dalam bidang-bidang yang berkaitan usaha pemupukan agenda integriti.