SHAH ALAM, 22 FEBRUARI 2018: Kerajaan Malaysia telah menyediakan mekanisme bagi menggalakkan amalan budaya berintegriti tinggi dan nilai-nilai etika melalui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) sejak tahun 2004. Dalam memastikan usaha ini dilaksanakan dengan berkesan, inisiatif Integrity Pact telah diwujudkan bagi menjamin tadbir urus korporat yang baik, ketelusan, kebertanggungjawaban dan nilai-nilai integriti dipatuhi.

Menyahut seruan tersebut juga, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi antara agensi perintis dalam kalangan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) di Malaysia serta anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang terawal memberikan komitmen penuh dalam pelaksanaan Sistem Integriti Korporat (CIS).

Justeru, penganjuran Program Bicara ‘Breakfast Talk INTEGRITI : Penerapan Budaya Integriti melalui Integrity Pact’ membuktikan komitmen tinggi PKNS dalam memperkasakan agenda integriti dalam pengurusan dan tadbir urus organisasi.

Program Bicara Breakfast Talk INTEGRITI merupakan antara program yang dianjurkan oleh INTEGRITI bagi meningkatkan pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus mencapai sasaran PIN.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBhg Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff berkata, “Integrity Pact merupakan antara langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan kemungkinan wujud unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan setiap projek yang membabitkan kepentingan rakyat”.

Menurut beliau lagi, langkah mengadakan Integrity Pact ini juga penting bagi mengembalikan keyakinan dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu badan atau organisasi itu.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Hajah Norita Mohd. Sidek pula berkata “Mekanisme penggerak kepada inisiatif PKNS dalam pembudayaan integriti secara holistik dilihat signifikan menerusi Anak-anak Syarikat di bawah seliaan PKNS termasuk Pihak Ketiga yang berurusan dengan PKNS (Kontraktor, Perunding, Vendor, Syarikat Kawalan Keselamatan, Sub-Kontraktor Bumiputera (SKB), Pembekal dan lain-lain stakeholder) turut boleh mengambil peluang ini dengan mengadakan program atau sistem kawalan dalaman bagi membantu mengorak langkah pertama bagi mewujudkan tadbir urus yang berintegriti dan telus.”

“Pelaksanaan amalan integriti di dalam tadbir urus juga turut menyumbang kepada penjimatan kos kepada organisasi serta peningkatan kualiti kerja dan nilai efisien dalam perkhidmatan”, tambah Norita.

Program ini menampilkan Yang Berusaha  Puan Hajah Norita binti Mohd Sidek, Ketua Pegawai Operasi PKNS sebagai pembicara utama manakala YBhg. Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Puan Nor’afiza Saim, Senior General Manager, Management System Certification Department SIRIM QAS International Sdn. Bhd masing-masing sebagai pembincang. Pengarah dan Ketua Penyelaras Program Pemantauan dan Penilaian INTEGRITI, Tuan Haji Hamilye Sham Harun bertindak sebagai moderator.

Program Bicara ‘Breakfast Talk INTEGRITI : Penerapan Budaya Integriti melalui Integrity Pact’ merupakan anjuran PKNS dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) diadakan di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS Shah Alam.