KUALA LUMPUR, 22 Februari 2018: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dan Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), langkah yang disifatkan sebagai signifikan dalam membantu agensi itu menggunakan instrumen Malaysian Integrity Profile (MIP) bagi mengenal pasti isu atau masalah berkaitan dengan integriti.

Di bawah MoU, PSMB akan menggunakan MIP bukan sahaja dalam kalangan kakitangannya, malah membabitkan syarikat-syarikat yang berdaftar dengannya demi melahirkan pemegang berkepentingan yang berintegriti.

Objektif MoU itu adalah untuk memberi persefahaman dan menjalin kerjasama yang efektif antara INTEGRITI dan PSMB dari segi pembangunan profil dan penilaian tahap integriti kakitangan. MIP boleh digunakan untuk proses pengambilan, pengurusan modal insan dan juga pengurusan pihak-pihak berkepentingan yang ada kaitan dengan PSMB.

Mengulas perkara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, MIP merupakan instrumen ujian integriti bersandarkan kepada ‘psychometric test’, di mana ujian itu dapat menilai kecenderungan seseorang sama ada mereka bertindak dengan integriti atau sebaliknya.

“Pada hari ini banyak agensi yang telah menggunakan perkhidmatan INTEGRITI.

“Kita berharap instrumen ini dapat dijadikan usaha asas yang dapat digembleng bersama dengan program latihan sumber manusia agar kita dapat memberi latihan berdasarkan keperluan kepada kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti melalui ujian tersebut,” kata beliau ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara INTEGRITI dan PSMB di Wisma PSMB di Kuala Lumpur hari ini.

Bagi pihak INTEGRITI, MoU itu ditandatangani oleh Datuk Dr Anis Yusal sendiri manakala PSMB pula diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Dato’ CM Vignaesvaran Jeyandran dengan disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dato’ Dr. Mohd Ghazali Abas.

Menurut Datuk Dr Anis Yusal, setakat ini sebanyak 16 agensi dan syarikat telah menjalin kerjasama dengan INTEGRITI untuk menggunakan MIP.

“Minat yang ditunjukkan oleh agensi kerajaan dan swasta amat membanggakan. Kami sedang mengadakan perbincangan dengan banyak pihak yang berminat untuk menggunakan MIP. Saya yakin bilangan itu akan meningkat tahun ini,” kata beliau.

MIP satu instrumen yang digunakan untuk menilai tahap integriti seseorang individu. Ia menilai tahap integriti individu dalam dua aspek utama iaitu Kualiti Peribadi dan Pendirian. Kualiti Peribadi menilai sama ada individu terbabit mempunyai sifat atau sikap yang menjadi asas kepada integriti manakala Kualiti Pendirian mengukur persepsi individu terhadap nilai kerja yang positif. MIP mengandungi Indeks Konsistensi iaitu ukuran yang mengesan perilaku calon yang dapat mempengaruhi kesahan skor seperti kemungkinan tidak menjawab secara jujur, tidak membaca soalan dengan teliti dan lain-lain.

INTEGRITI telah membina pelbagai instrumen lain bagi membantu untuk memahami punca permasalahan di peringkat akar umbi.

Pada sidang media selepas majlis menandatanagni MoU, Dato’ CM Vignaesvaran memberitahu bahawa pihaknya akan memperkenalkan MIP dalam kalangan kakitangannya dan seterusnya kepada syarikat-syarikat yang berdaftar dengan PSMB dan juga individu-individu  penyedia latihan.

“Kami akan laksanakan secara berperingkat-peringkat. Kepada kakitangan, kami akan laksanakan terlebih dahulu dan kemudian kepada lebih 20,000 syarikat dan 3,500 penyedia latihan yang berdaftar dengan PSMB,” kata beliau.

Beliau berkata, pihaknya telah pun melaksanakan ikrar integriti korporat, tetapi penggunaan MIP akan membantu pihaknya melengkapkan usaha memperkasakan budaya berintegriti.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu, MoU yang ditandatangani itu bertujuan menyatakan sokongan PSMB kepada INTEGRITI serta membuktikan komitmen PSMB dalam membudayakan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti.

“Integriti merupakan aspek yang sangat penting dalam setiap organisasi tidak kira sama ada di dalam organisasi kerajaan, swasta mahupun korporat.

“Sejajar dengan saranan kerajaan dalam menekankan kepentingan integriti di pelbagai sektor kerajaan, maka kami juga mengambil langkah sewajarnya untuk menanam sifat integriti ini di sektor korporat,” kata beliau.

Sementara itu, Dato’ Sri Richard Riot berkata, PSMB merupakan agensi pertama di bawah portfolio Kementerian Sumber Manusia menandatangani MoU dengan INTEGRITI.

Kata beliau, MoU yang ditandatangani itu membuktikan komitmen PSMB dalam melaksanakan tanggungjawab secara berintegriti dan membuktikan sokongan penuh terhadap usaha pencegahan rasuah oleh Kerajaan Malaysia.

Katanya, budaya kerja berintegriti  harus disemai dan dipraktikkan oleh semua bagi membentuk sebuah organisasi yang cemerlang serta berkualiti.

“Kita perlu bergerak bersama agar perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat dan setiap pihak berkepentingan dapat dijalankan secara beramanah dan menjadi contoh kepada agensi dan jabatan kerajaan atau swasta yang lain,” kata beliau.

Malah beliau juga mahu warga kerja PSMB memperkasakan “amalan budaya berintegriti” dengan menghayati 12 poin atau perkara yang terkandung dalam Taklimat Integriti, yang diperkenalkan kepada para hadirian pada majlis hari ini oleh INTEGRITI.