SERDANG, 20 April 2018: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) sedang menyemak semula pelan tindakan Pelan Integriti Nasional (PIN), yang dilancarkan pada tahun 2004, seiring dengan cabaran dan keperluan semasa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, INTEGRITI kini dalam proses menghalusi syor dan pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak bagi melakukan penambahbaikan ke atas aspek yang berkaitan dengan pelan tindakan PIN dan akan dilancarkan dalam waktu terdekat.

“Institut Integriti Malaysia sedang melakukan semakan semula pelan tindakan Pelan Integriti Nasional. Ia kini di peringkat akhir dan akan dilancarkan dalam waktu terdekat.

“Semakan ini mengambil kira perkembangan dan cabaran-cabaran semasa, serta kemungkinan keperluan akan datang,” kata beliau ketika berucap pada Forum Eksekutif dan Kempen Pelancaran Do It Right – Integriti Di Hati, di Dewan Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini malam tadi.

Kedua-dua program itu merupakan sebahagian daripada acara sambutan Fiesta INTEGRITI yang diadakan semalam sempena ulang tahun ke-14 penubuhan INTEGRITI dan pelancaran PIN. Turut diadakan pameran integriti dan Putra Integrity Walk.

Kata beliau, dasar dan isu-isu baharu serta perkembangan semasa yang dilaksanakan oleh kerajaan telah dijadikan elemen penting untuk diselarikan dalam proses menambah baik pelan tindakan PIN.

Segala input, idea dan cadangan yang diperoleh daripada peserta program dan aktiviti anjuran INTEGRITI khususya Dialog TN50 dan Roadshow INTEGRITI dipertimbangkan dalam proses penambahbaikan yang sedang dilakukan.

PIN menyasarkan lapan institusi dengan 22 objektif dan 32 strategi. PIN dilancarkan pada 23 April 2004 di mana pada tarikh yang sama INTEGRITI ditubuhkan.

Fiesta INTEGRITI dianjurkan dengan kerjasama UPM. Visi INTEGRITI, yang ditubuhkan pada 23 April 2004, adalah membantu Malaysia ke arah mencapai negara berintegriti tinggi, yang berdaya tahan dan mengamalkan nilai-nilai murni sejagat.

Mengulas lanjut mengenai program Fiesta INTEGRITI, Dr Ahmad Fadzli berkata, ini kali pertama sambutan ulang tahun penubuhan INTEGRITI diadakan di kampus universiti, dan ia antara lain bertujuan mendekati golongan belia dalam usaha pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti tinggi.

“Ini selari dengan seruan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri program Diskusi Intelektual pada 16 Januari yang lalu, di mana beliau antara lain berkata semua pihak perlu bersatu tenaga bagi menjadikan agenda pembudayaan dan penghayatan integriti sebagai satu gerakan massa atau mass integrity movement,” katanya.

Forum Eksekutif yang mengupas tajuk Melestarikan Ihsan Dalam Mendepani Kehidupan Berintegriti menampilkan Naib Canselor UPM,  Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris; Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI,  Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad dan Exco Siswazah Muda Majlis Belia Malaysia, Hasnul Haniff Harun.