Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah menganjurkan Sesi Bicara Integriti sempena Seminar Pengukuhan Nilai dan Amalan Integriti yang berlangsung di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada  24 Mei 2018 – program julung kali diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang berlangsung awal bulan ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBrs Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, keputusan Kerajaan Negeri Kedah memilih INTEGRITI itu satu langkah positif bagi memperkukuh usaha pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti.

“Ini langkah permulaan yang baik di pihak Kerajaan Negeri Kedah yang baharu. INTEGRITI yakin usaha seperti ini akan melancarkan lagi pendekatan mencapai agenda melahirkan masyarakat Malaysia yang berintegriti tinggi,” kata beliau yang turut hadir pada seminar itu.

Malah menurut beliau, langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah akan menjadi pelengkap kepada usaha-usaha INTEGRITI yang ditubuhkan pada tahun 2004.

“Sebagai contoh, INTEGRITI telah memperkenalkan program Roadshow INTEGRITI pada Ogos yang lalu. Penganjuran seminar seperti ini satu usaha yang baik dan INTEGRITI akan memperkenalkan produk dan instrumen yang dibangunkan oleh INTEGRITI kepada Kerajaan Negeri Kedah. Bermakna, dalam jangka panjang akan ada satu usaha bersepadu ke arah mencapai visi INTEGRITI dan matlamat Pelan Integriti Nasional (PIN),” kata beliau lagi.

Kata beliau, INTEGRITI telah mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Mukhriz  Tun Dr Mahathir bagi memperkukuhkan usaha ke arah itu.

Pada seminar itu, YAB Dato’ Seri Mukhriz  menyampaikan ucaptama bertajuk “Nilai dan Amanah Integriti Dalam Tadbir Urus Kerajaan Negeri Darulaman Pasca Pilihan Raya Umum ke-14”.

YAB Dato’ Seri Mukhriz  menekankan bahawa  pihak kerajaan kini sedang gigih membina dan membentuk perkhidmatan awam yang berintegriti, berprestasi tinggi dan berinovasi kerana rakyat Malaysia semakin peka, berpendidikan tinggi dan mempunyai harapan yang kian meningkat terhadap perkhidmatan awam.

Sesi Bicara Integriti diadakan di bawah tema Pengukuhan Integriti. Ia menampilkan mantan Ketua Audit Negara dan Pengerusi Bank Islam Malaysia Berhad, YBhg. Tan Sri Ambrin Buang; mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Pengerusi Agrobank, YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan mantan ahli Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pengerusi Cagamas Berhad, YBrs. Nik Hasyudeen Yusoff. Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI, YBhg. Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid bertindak sebagai moderator.

Kakitangan Kerajaan Negeri Kedah yang hadir turut melafazkan Ikrar Integriti Negeri Kedah Darul Aman.