Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) yakin dan berharap penjawat-penjawat awam tidak akan terikat kepada surat sokongan yang dikeluarkan oleh siapa jua dalam soal meluluskan sesuatu permohonan termasuk tender projek. Sebaliknya penjawat awam perlu bertindak mengikut peruntukan akta dan peraturan yang sedia ada, yang perlu dipatuhi semasa membuat pertimbangan masing-masing.

Surat sokongan bukan faktor penentu kelulusan yang diberikan. Dalam menegakkan nilai-nilai integriti, penjawat awam sewajarnya bijak menggunakan pertimbangan mereka. Jika tidak ia akan mengundang masalah dalam jangka panjang. INTEGRITI yakin pihak pemohon juga tidak akan menganggap surat sokongan sebagai penentu dalam mendapatkan kelulusan ke atas permohonan yang dibuat.

Garis Panduan Tindakan Ke Atas Sokongan Yang Diterima Daripada Pemimpin Kerajaan, Individu Berpengaruh Atau Mana-mana Orang Mengenai Sesuatu Urusan Kerajaan yang dikeluarkan pada tahun 2010 ada menerangkan tentang tafsiran dan panduan pengendalian surat sokongan bagi memastikan penjawat awam tidak terkeliru, terpengaruh dan mengekalkan integriti dalam membuat keputusan.

INTEGRITI berpandangan bahawa semua pihak harus bertindak dengan objektif dalam soal ini jika kita mahu mewujudkan satu persekitaran bebas salah guna kuasa dan adanya budaya berintegriti tinggi dalam proses pertimbangan kelulusan permohonan.

 

 DR AHMAD FADZLI AHMAD TAJUDDIN
TIMBALAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA (INTEGRITI)
21 JUN 2018