Pada pandangan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), seorang Perdana Menteri atau Ketua Kerajaan boleh menerima hadiah atas kapasiti mereka sebagai Ketua Kerajaan semasa menjalankan tugas rasmi, tetapi penerimaan hadiah terbabit tidak harus mempengaruhi tugas rasmi mereka dan tidak boleh bercanggah dengan undang-undang negara.

Pada masa yang sama, hadiah yang diterima perlu diisytiharkan supaya tidak timbul isu-isu pelanggaran integriti atau salah guna kuasa, dan pada masa yang sama, pemimpin terbabit akan dilihat bertindak dengan telus dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan.

INTEGRITI berpandangan pengisytiharan boleh dilakukan kepada sebuah badan yang sesuai. Kerajaan boleh memikirkan sebuah badan yang sesuai bagi tujuan tersebut. Di Malaysia, mekanisme pengisytiharan ini masih belum jelas, khususnya membabitkan anggota pentadbiran awam dan perdana menteri meskipun sudah ada garis panduan bagi penjawat-penjawat awam.

Oleh itu, sudah tiba masa mekanisme pengisytiharan hadiah yang sedia ada disemak dan diperkukuhkan lagi bagi membolehkan semua pihak faham akan tatacara pelaksanaan dan pematuhan yang berkaitan demi mengelakkan sebarang isu kelak. Malaysia boleh mencontohi mekanisme pengisytiharan hadiah sudah pun diamalkan di banyak negara demokrasi, termasuk di Indonesia di mana anggota pentadbiran awam dan kakitangan awam perlu mengisytiharkan hadiah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh ia diterima kepada Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia.

 

DR AHMAD FADZLI AHMAD TAJUDDIN
TIMBALAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA
 

29 JUN 2018