Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganjurkan program Breakfast Talk di Ibu Pejabat AADK hari ini bagi berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai isu-isu berkaitan usaha meningkatkan tadbir urus baik dalam urusah memerangi pengambilan dan penggunaan dadah.

Program ini yang berlangsung di ibu pejabat AADK di sini, diadakan bagi memberi pendedahan lebih menyeluruh kepada warga AADK berkenaan dengan budaya dan nilai-nilai integriti, selain memberi kesedaran mengenai tanggungjawab besar yang dipikul selaku penjawat awam sebagai amanah rakyat dan negara.

Perbincangan hari ini mengupas topik “Hidup Penuh Erti Tanpa Rasuah dan Dadah: Perspektif Integriti”. Ia menampilkan YBhg. Dato’ Dr Abd Halim Mohd Hussin, Ketua Pengarah AADK; YBhg Dato’ Prof Dr Azizan Baharuddin, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan YBrs PPKj Jamil Mohd Dahlan, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Program Breakfast Talk INTEGRITI merupakan salah satu daripada siri program yang dianjurkan oleh INTEGRITI bagi meningkatkan pemupukan dan pembudayaan nilai-nilai integriti. Ia memfokus kepada pelbagai isu integriti dalam negara.

Ini julung kali program seumpama ini diadakan di peringkat AADK.

Dalam kenyataannya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBrs Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin melahirkan penghargaan kepada AADK kerana memberi kerjasama padu dalam menjayakan program kali ini.

“Kerjasama ini  menunjukkan komitmen tinggi AADK dalam merealisasikan agenda memperkukuh budaya integriti. Malah, kerjasama ini juga membuktikan bahawa usaha memupuk nilai-nilai integriti memerlukan kerjasama pintar dua hala dan sokongan semua pihak,” kata beliau.

Jelas beliau, INTEGRITI dan AADK akan mempertingkatkan kerjasama yang sedia terjalin bagi mencapai agenda negara dengan lebih berkesan.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Dr Abd Halim yang bertindak sebagai Pembicara Urama pada program hari ini mengucapkan tahniah kepada INTEGRITI atas kerjasama yang dihulurkan dalam menganjurkan Program Breakfast Talk pada hari ini.

“Ini satu program yang sangat penting untuk menangani isu integriti dan rasuah dalam usaha mencapai matlamat negara bebas dadah,” kata beliau sambil menambah, sokongan dan khidmat nasihat yang diberikan oleh INTEGRITI sangat penting bagi menyemai nilai-nilai integriti dalam kalangan penjawat awam.

“Isu integriti adalah tanggungjawab bersama, ia perlu bermula dari keluarga,” kata beliau.

Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua PEMADAM, Datuk Omar Osman dalam ucapannya memberitahu sasaran memerangi dadah dan rasuah perlu dijadikan agenda bersama semua pihak di negara ini.

“PEMADAM akan bertindak habis-habisan bagi memastikan isu rasuah dan dadah ditangani secara menyeluruh. Kami akan terus mendedahkan perkara ini supaya semua pihak sama-sama memainkan peranan masing-masing,” kata beliau yang menyifatkan isu penggunaan dadah kini sudah sampai tahap yang “kritikal”.