Rakyat perlu menghidupkan semula “sifat tahu malu” jika mahu melahirkan sebuah negara yang berintegriti dan bebas daripada apa jua salah laku jenayah dan rasuah, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Sambil menegaskan integriti bukan suatu pilihan tetapi suatu kemestian jika negara ini hendak diselamatkan, beliau berkata, partisipasi massa rakyat dalam perjuangan integriti akan menjadi lebih berkesan.

Oleh itu kata beliau, negara memerlukan satu gerakan moral membabitkan seluruh rakyat tidak kira agama atau kaum.

“Dalam masyarakat yang sedang mengalami masalah defisit moral, tema integriti memang wajar diangkat menjadi wacana nasional.

“Malah lebih daripada itu, menyaksikan kenyataan mewabaknya pelbagai jenayah seperti rasuah, penipuan, penyalahgunaan kuasa dan segala bentuk kebejatan moral lainnya, diperlukan suatu gerakan moral atau moral movement oleh rakyat pelbagai kaum dan agama,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam syarahan bertajuk Agama Sebagai Medium Memupuk Integriti dan Perpduan Nasional pada seminar kebangsaan anjuran bersama Institut Integriti Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini hari ini.

Katanya, masyarakat madani dan rakyat keseluruhannya akan lebih merasa terpanggil jika perjuangan menegakkan integriti dipersepsikan sebagai perjuangan keagamaan.

“Dalam konteks agama Islam, membina akhlak mulia adalah maqasid al-bi`thah (objektif pengutusan Rasul) dan sekali gus dapat pula dianggap komponen maqasid al-shari`ah (objektif tertinggi syari`at).

“Demikian yang dapat disimpulkan dari sabda nabawi bahawa Junjungan s.a.w. diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak mulia. Kerana itu semua hukum ibadat, munakahat dan jinayat mempunyai asas pijakan akhlak dan moral. Masalahnya, pendidikan Islam ketika ini terlalu berorientasi hukum, dengan mengabaikan dimensi moralnya,” tambah beliau.

Katanya, antara nilai akhlak yang sangat dipentingkan dalam Islam ialah nilai malu.

Dr Siddiq memberitahu, sifat tahu malu atau sense of shame itulah juga yang menjadikan seseorang itu manusia yang bermaruah.

“Mungkin ini antara yang harus kita usahakan bersama iaitu membina bangsa yang bermaruah dengan menghidupkan sifat tahu malu dalam kalangan rakyat.

“Apabila setiap orang berasa malu menjadi koruptor, malu menjadi penipu, malu diperbodoh dan seterusnya, akan banyak masalah dapat diselesaikan. Tidak akan ada lagi organisasi atau institusi yang korup apabila orang malu menganggotainya,” ujar beliau.

Dr Siddiq menambah, suatu ketika orang Melayu memiliki kesedaran yang tinggi tentang sifat malu seperti yang mereka ekspresikan dalam ungkapan tradisional, “sehina semalu”.

Katanya, ungkapan tersebut mengisyaratkan makna bahawa malu tidak hanya menjadi sifat individu, tetapi telah menjadi sifat kolektif suatu bangsa.

“Sehina semalu”bererti sama-sama hina dan sama-sama malu. Apabila negara ini disebut negara yang korup, atau disebut mengamalkan ‘kleptocracy at its worst’, yang seharusnya malu bukan hanya orang tertentu, tetapi semua rakyat dari segala kaum dan agama.

“Semua mereka berkongsi rasa sehina semalu. Ternyata membina integriti tidak terlepas dari agenda besar membina watak atau karakter bangsa. Untuk itu pendidikan dan pembudayaan nilai-nilai murni, khususnya nilai-nilai agama merupakan suatu keperluan,” kata beliau lagi.