KAJANG, 16 Ogos 2018: Sebut sahaja “penjara” semestinya ramai yang akan dibayangi oleh perasaan negatif serta emosi takut dan sedih. Penjara dikatakan sebagai tempat berakhirnya buat si pesalah sama ada saat berhentinya degupan jantung atau penghujung kepada kesilapan lampau.

Dalam memperbetulkan persepsi masyarakat mengenai tempat yang boleh dikatakan sebati sebagai tempat tahanan dan hukuman banduan semata-mata, Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) mengadakan program santai Breakfast Talk INTEGRITI yang mengupas topik Peneraju Perkhidmatan Korektif: Perspektif Integriti” di Dewan Kelab Penjara Kajang di sini, hari ini.

 Program ini menampilkan YBhg. Dato’ Sri Zulkifli Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia sebagai Pembicara Utama. Program yang dihadiri oleh seramai 200 warga kerja Jabatan Penjara serta beberapa agensi luar ini turut menampilkan YBhg. Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan Timbalan, Pengerusi/Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ihtimam merangkap  Ahli INTEGRITI dan YBrs. Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, Profesor Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dalam perkongsiannya, Dato’ Sri Zulkifli berkata, antara cabaran atau isu berkaitan integriti yang dihadapi oleh Jabatan Penjara adalah melibatkan dua tempat ‘hotspot’ iaitu pengurusan tempat perjumpaan keluarga dan banduan.

“Di sini adalah tempat dimana sering berlakunya penyeludupan bahan-bahan terlarang dan tawar-menawar yang melibatkan penjualan  dadah kepada banduan serta membawa masuk artikel larangan seperti telefon bimbit, tembakau, senjata api dan benda tajam.”

Satu lagi ‘hotspot’ ialah tempat pengurusan rekod pejabat  di mana ia merupakan tempat penyimpanan harta benda banduan. “Dalam memastikan keadaan kedua-dua tempat ini terkawal, perlu ada kakitangan yang telus dan pemantauan yang khusus,” katanya.

Tambah beliau, dalam memastikan tadbir urus terbaik dan pengukuhan integriti kakitangan, Jabatan Penjara mempunyai satu unit inspektoran yang bekerjasama dengan unit tindakan dan risikan bagi memastikan sebarang unsur pelanggaran integriti diberi perhatian khusus.

Hujah beliau turut disokong oleh Tan Sri Zaman Khan yang menggesa para penjawat awam menitikberatkan soal integriti dalam setiap apa yang kita lakukan.

“Tanpa integriti, jangan harap sesebuah negara itu boleh maju ke hadapan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal menekankan tentang perlunya mekanisme dalaman yang jitu dalam perkhidmatan awam di negara ini bagi meningkatkan nilai integriti penjawat awam.

Terutamanya, pegawai peringkat atasan yang perlu mempraktikkan kepimpinan melalui teladan dalam menjadikan integriti sebagai satu budaya menyeluruh dalam perkhidmatan awam, tambah beliau.

INTEGRITI yang diwakili oleh Hamilye Sham Harun, Pengarah dan Penyelaras Pusat Koordinasi dan Pemantauan selaku moderator turut mengakui kepentingan program yang membantu membentuk kembali disiplin dan pemulihan akhlak para penghuni.

Menurut beliau, akhlak seseorang dipengaruhi oleh niat hati. Jadi setiap program yang dijalankan memainkan peranan yang penting agar individu tersebut sedar dan memperbaiki tingkah laku secara ikhlas  dan ini akan lebih bersifat jangka panjang.

“Dalam membina integriti seseorang individu, keluarga terutamanya memainkan peranan yang penting. Ini adalah kerana keluarga adalah tempat mereka bergantung harap dan merupakan institusi yang paling penting dalam proses membaik pulih diri mereka.

Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Jabatan Penjara atas  kerjasama padu dalam menjayakan program kali ini, sekali gus menunjukkan keikhlasan dalam merealisasikan agenda memperkukuh budaya integriti.