PUTRAJAYA, 28 Ogos 2018 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan terus memberikan penekanan dan berpegang teguh kepada prinsip integriti, kata Ketua Pengarahnya, YBhg. Mohammad Hamdan Wahid.

Selaras dengan kehendak kerajaan serta peraturan awam berkaitan seperti Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 mengenai Penubuhan Unit Integriti di semua agensi awam, beliau memberitahu, pihaknya akan terus mengambil langkah untuk memperkuatkan keutuhan dan fungsi unit tersebut dengan merencanakan tindakan  yang agresif dalam usaha memperkasakan integriti dalam segenap aspek pelaksanaan amanah dan tugas.

“Kita melihat usaha memperkasakan integriti ini sebagai salah satu wadah yang sangat penting dan elemen asas yang amat kritikal dalam memacu jabatan ini ke arah Sebuah Organisasi Kebombaan dan Penyelamat Yang Berprestasi Tinggi,” kata beliau pada program Breakfast Talk INTEGRITI yang diadakan di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini hari ini.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI).

Kata beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mempunyai tanggungjawab sosial dan insani yang berat dalam memastikan rakyat sentiasa dilindungi,selamat dan sejahtera dalam kehidupan seharian.

“Tuntutan daripada cabaran risiko kebakaran, kemalangan, bencana alam, bencana industri dan khidmat kemanusia memerlukan setiap warga kakitangan Bomba sentiasa terlatih, siap siaga, cekap, responsif dan efektif.

“Ciri, disiplin dan etika ini tidak akan wujud dan tercapai sekiranya nilai mahasabah diri setiap individu dalam organisasi ini tidak dipupuk dan sekiranya anggota tidak berpegang teguh kepada prinsip dan nilai yang murni.

“Citizens trust fire fighters to keep them safe, and the level of trust – both within the department’s responders serve and the communities they protect, cannot be broken under any circumstances.

“’Doing the right things, without people watching it’ is the basic fundamental of a noble individual, all decisions are driven by our values, regardless of your beliefs and backgrounds,” kata beliau sambil menambah, asas seperti ini yang ditanamkan oleh institusi kebombaan.

Menurut beliau, jabatan itu sedar usaha memperkasakan integriti perlu dilaksanakan di segenap lapisan pegawai.

“Usaha membentuk sebuah organisasi yang kukuh dengan nilai-nilai moral dan etika anggotanya mempunyai nilai-nilai kerohanian yang unggul serta utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur adalah suatu usaha yang berterusan dan sasaran utama.”

Sesi kali ini menampilkan Timbalan Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia, YBhg. Dato’ Che Ab Rahim Che Daud dan mantan Ketua Polis Negara, YBhg. Tan Sri Musa Hassan.

Pengarah dan Ketua Penyelaras Pusat Koordinasi, Pemantauan dan Penilaian INTEGRITI, Hamilye Sham Harun bertindak sebagai moderator.