KUANTAN, 25 September 2018: Bagi terus memantapkan pembudayaan integriti, Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Yayasan Pahang menganjurkan Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Pahang di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini.

Pahang merupakan negeri pertama menganjurkan Seminar Pemerkasaan Integriti.

Seminar ini satu lagi pendekatan INTEGRITI bagi membantu kerajaan-kerajaan negeri menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti selaras dengan Pelan Integriti Nasional (PIN), di mana ia dapat memberi gambaran jelas dalam perencanaan program atau aktiviti integriti agar lebih tersusun, terarah dan sistematik serta meninggalkan kesan dan impak yang menyeluruh ke atas kumpulan sasaran.

Amanat integriti disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail di bawah tema “Tanggungjawab Masyarakat Pemangkin Kelestarian Pemerkasaan Budaya Integriti” – selari dengan objektif penganjuran seminar iaitu memberi pendedahan kesedaran dan kepentingan nilai-nilai integriti dalam masyarakat sepanjang masa.

Beliau berkata, pemerkasaan budaya berintegriti memerlukan perancangan, pelaksanaan, penyelarasan dan pemantauan berkesan.

“Gerakan semua komponen dalam masyarakat diyakini dapat mengkoordinasi segala tindakan ini secara lebih holistik dan menjurus ke arah pencapaian matlamatnya.

“Perjuangan secara bersama ini menjadikan pemantapan integriti satu gagasan dan wadah yang sangat penting dan perlu dilakukan dengan sistematik, komitmen yang tinggi dan penuh keikhlasan,” kata beliau.

Malah menurut beliau, “hanya dengan kerjasama semua pihak, cabaran melahirkan masyarakat yang berintegriti tinggi dapat diatasi dan seterusnya melahirkan rakyat Malaysia yang hebat di persada dunia,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, masyarakat berintegriti membentuk bangsa yang bermaruah dan beretika tinggi, malah menuntut kita menganalisis atas satu sintesis tentang susur galur sejarah negara dan disemai dengan roh integriti.

“Usaha dalam memartabatkan integriti dan tidak lupa tuai hasil yang berbuah daripada pengamalan integriti dalam memartabatkan komuniti dan bangsa Malaysia,” kata beliau.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah dan Ketua Penyelaras Program Koordinasi dan Pemantauan INTEGRITI, Hamilye Sham Harun.

Dr. Ahmad Fadzli juga berkata, dalam usaha untuk membudayakan agenda integriti, INTEGRITI berkongsi kaedah mencapai sasaran. Ini termasuklah memperkenalkan produk dan instrumen yang telah dibangunkan oleh INTEGRITI iaitu Integrity Assessment Tools (IAT), Malaysian Integrity Profile (MPI), Pelan Integriti Organisasi (PIO) dan Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (PIBK).

Sempena seminar hari ini, Diskusi Integriti yang mengupas tajuk “Tanggungjawab Masyarakat Pemangkin Kelestarian Pemerkasaan Budaya Integriti” turut diadakan.

Ahli panel terdiri daripada Pengurus Besar Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi dan Ahli Lembaga Pengarah INTEGRITI, Profesor Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid. Moderator diskusi ialah Jufitri Joha, Ahli INTEGRITI merangkap Naib Presiden Majlis Belia Malaysia.

Seterusnya resolusi seminar disampaikan kepada YH Dato’ Toantowee Mohd Lotfie, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pahang.

Seramai 200 peserta yang terdiri daripada penjawat awam dan swasta menjayakan seminar ini.

INTEGRITI akan meningkatkan usaha-usaha seperti ini selari dengan sasaran kerajaan membebaskan negara daripada isu-isu rasuah.