Kuala Lumpur, 27 September 2019: Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Center to Combat Corruption & Cronyism (C4 Center) telah menganjurkan forum bertajuk Perolehan Awam Bebas Rasuah : Aspirasi Kita bertempat di Auditorium INTEGRITI, Kuala Lumpur hari ini.

Ucaptama forum ini disampaikan oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC). Dalam ucapan beliau menegaskan kerajaan pada hari ini komited menjadikan proses perolehan awam lebih “transparent”. Salah satu daripada enam bidang yang berisiko telah dikenal pasti dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) adalah melibatkan perolehan awam. Terdapat 16 inisiatif di dalam bidang keutamaan ini perlu dilaksanakan untuk mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam.

Tambah beliau, dalam masa kita memberi fokus kepada perolehan awam, kita juga telah memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat agar tidak memberi ruang kepada perbuatan rasuah. Untuk itu, Kerajaan telah memperkenalkan peruntukan undang-undang yang dikenali sebagai Seksyen 17A dalam Akta SPRM yang mempunyai kesalahan oleh organisasi komersial terhadap semua syarikat perniagaan. Seksyen ini memperuntukan kesalahan jika seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial itu secara rasuah memberikan, bersetuju untuk memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang apa-apa suapan sama ada bagi faedah orang itu atau bagi faedah orang lain dengan niat :–
i. untuk memperoleh atau mengekalkan perniagaan bagi organisasi komersial itu; atau
ii. untuk memperoleh atau mengekalkan faedah dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi komersial itu.
• Mana-mana organisasi komersial yang melakukan keslahan di bawah seksyen ini, apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan yang terlibat, atau MYR 1 juta (MYR1,000,000.00) mengikut mana yang lebih tinggi atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
• Dalam hal peruntukan Seksyen 17A ini, apabila organisasi komersial melakukan kesalahan tersebut maka seseorang yang menjadi Pengarah, pengawal, pegawai atau proksi atau yang terlibat dalam Pengurusan hal ehwal organisasi komersial tersebut pada masa kesalahan tersebut dilakukan, akan disifat telah melakukan kesalahan tersebut, melainkan orang itu membuktikan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan tanpa keizinannya atau pembiaraannya dan dia telah menjalankan segala usaha yang wajar (adequate procedure) dilakukanya untuk menghalang perlakuan kesalahan tersebut. Maka adalah menjadi tanggungjawab setiap organisasi komersial membangunkan ‘adequate procedure’ sebagai pembelaan apabila ada seseorang yang berkaitan organisasinya melakukan satu kesalahan rasuah bagi urusan perniagaan organisasi komersial tersebut.

Forum setengah hari ini membincangkan punca berlakunya rasuah dalam proses perolehan, kesan kepada negara dan langkah pencegahan bagi membanteras gejala ini.

Panel yang hadir adalah Datuk Zulkipli Abdullah, Timbalan Ketua Audit Negara, Jabatan Audit Negara, Ir. Kamaluddin Haji Abdul Rashid Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Haji Amir Mahmod Abdullah, Pengarah Program Bahagian Perolehan dan Rangkaian Pembekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Mohd Hafaz Nazar, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Forum ini telah dihadiri seramai lebih 200 peserta daripada kementerian, agensi dan jabatan sektor awam.

Webmail Portal Kolaboratif Pusat Ilmu