30 September 2020: YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Dato Seri Hj Aminuddin Harun melancarkan Pelan Antirasuah Negeri Sembilan (ANTS) 2020-2024. Turut hadir adalah YBhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Pelan Antirasuah Negeri Sembilan (ANTS) 2020-2024 ini merupakan hasil tindakan susulan daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang mana semua pentadbiran Kerajaan Negeri serta Kementerian perlu membangunkan pelan antirasuah yang boleh diaplikasikan di organisasi masing-masing secara menyeluruh.

Untuk makluman, Negeri Sembilan adalah negeri yang kedua membangunkan Pelan Antirasuah peringkat negeri selepas Negeri Sabah yang telah melancarkan pelan mereka pada tahun lepas.

Pelaksanaan Pelan ANTS bagi tempoh lima tahun akan datang ini amat signifikan dalam mencerminkan harapan rakyat untuk membentuk sebuah negeri yang bebas rasuah dengan warganya membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Kerangka Pelan ANTS mengandungi lima bidang keutamaan yang terdiri daripada Tadbir Urus Politik, Sektor Pentadbiran Awam, Perolehan Awam, Perundangan dan Kehakiman, dan Penguatkuasaan.

Di bawah lima bidang keutamaan ini, terdapat lima strategi yang digariskan dengan 97 inisiatif untuk dilaksanakan oleh semua jabatan dan agensi di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

Total Visits: 815549