5 November 2020, KUALA LUMPUR – Institut Integriti Malaysia (IIM) bersama-sama Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) mempunyai peranan signifikan dalam pembangunan kapasiti dan kompetensi sektor awam dan badan korporat dalam usaha pemantapan integriti serta profesionalisme menerusi penekanan terhadap pengaplikasian instrumen dan teknologi baharu.

Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 merupakan antara inisiatif Kerajaan yang komprehensif dan inklusif ke arah mencapai matlamat negara bebas rasuah dan berintegriti. NACP adalah pelan bersepadu yang julung kali digubal bagi menentang rasuah, menggariskan enam bidang keutamaan yang menjadi teras dalam usaha pembanterasan rasuah di negara ini. Bidang itu ialah Tadbir Urus Politik, Pentadbiran Sektor Awam, Perolehan Awam, Perundangan dan Kehakiman, Penguatkuasaan Undang-undang serta Tadbir Urus Korporat.

Sehingga 31 Mei 2020 sebanyak 29 inisiatif di bawah enam (6) strategi pelaksanaan NACP telah berjaya dilaksanakan iaitu Tadbir Urus Politik (13 Inisiatif), Pentadbiran Sektor Awam (3 Inisiatif), Perolehan Awam (4 Inisiatif), Perundangan/Kehakiman (1 Inisiatif), Penguatkuasaan Undang-Undang (5 Inisiatif) dan Tadbir Urus Korporat (3 Inisiatif).

Diantara insiatif tersebut adalah; Memperkenalkan sistem pengisytiharan harta Anggota Pentadbiran; Menambahbaik dasar dan mekanisme berkaitan penerimaan hadiah, keraian dan bayaran oleh Anggota Pentadbiran; Memperkenalkan dasar menyekat campur tangan politik dan individu berpengaruh dalam kenaikan pangkat, pelantikan dan pemilihan dalam jawatan-jawatan Kerajaan; Menguatkuasakan kuasa Parlimen untuk menghukum perbuatan menghina Parlimen dengan melibatkan Menteri, penjawat awam dan orang awam: Memperkasa bidang kuasa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan kuasa untuk membuat pemeriksaan ke atas semua institusi dan entiti yang menerima sumber kewangan dari Kerajaan; Memperkenalkan dasar dalam pengurusan pelantikan perunding merangkumi aspek peranan dan tanggungjawab; Mengehadkan penglibatan perunding yang dilantik dalam hal ehwal kewangan dan dasar organisasi; dan Menubuhkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan aset yang dirampas dan dilucuthak melalui penguatkuasaan bersepadu.

Selain itu, peranan GIACC sebagai Sekretariat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) terus diperkasakan bagi memastikan hasrat murni Kerajaan ini dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan. Jawatankuasa Antirasuah (JAR) yang dilaksanakan di beberapa peringkat Kementerian dan Jabatan juga akan dimantapkan bagi memastikan dasar yang dirangka tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan rasuah.

Dalam memperkasakan kompetensi penjawat awam amnya, pihak GIACC telah mengambil inisiatif menganjurkan kursus ‘Strategic Leadership Course on Governance, Integrity and Anti-Corruption’ dengan kerjasama rakan strategik iaitu United Nations Development Programme (UNDP), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Razak School of Government (RSOG) melibatkan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional yang berpotensi dan dipilih oleh JPA.

Bagi merealisasikan mekanisme transformasi baharu pemantapan integriti dalam kerangka perniagaan strategik, pihak IIM telah pun mengambil langkah inovatif dengan membina rangkaian perkongsian pintar dan komprehensif menerusi kepelbagaian pendekatan terutamanya dalam bidang pembekalan latihan, konsultasi dan program kesedaran dengan memperkenalkan beberapa produk perkhidmatan, instrumen serta kaedah yang boleh dilaksanakan secara praktikal dalam usaha memperkukuhkan sistem kualiti pengurusan dalaman sesebuah organisasi sebagai langkah pencegahan rasuah.

Pendekatan ini juga secara tidak langsung dapat merekayasakan sistem pengurusan kualiti perkhidmatan penjawat awam mahupun swasta bagi menjamin peningkatan amalan governans, integriti dan antirasuah.

Seiring dengan Visi IIM sebagai pusat kecemerlangan pembangunan budaya integriti, Kerajaan senantiasa memfokuskan dan menitikberatkan akauntabiliti kepemimpinan berintegriti dalam organisasi dan negara malah individu yang memiliki integriti yang tinggi merupakan pra-syarat utama dalam menentukan kepimpinan yang diperlukan dalam setiap organisasi.

Sempena memperingati Hari Integriti Nasional yang jatuhnya pada 5 November setiap tahun dalam budaya kerja norma baharu ini, setiap organisasi tidak seharusnya menjadikan alasan COVID-19 untuk tidak melaksanakan program pemantapan integriti. Kesemua inisiatif ini tetap boleh dilaksanakan sama ada secara di atas talian mahupun fizikal dengan pematuhan SOP yang ketat dengan tujuan :

i) Memupuk kesedaran     dalam kalangan penjawat awam di Kementerian dan agensi-agensi di bawahnya mengenai keperluan dan kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti;

ii) Memberi penjelasan mengenai isi-isu berkaitan kesalahan tatatertib, ketidakpatuhan tadbir urus dan mewujudkan kesedaran tentang norma tatakelakuan yang baik kepada pegawai dan kakitangan di Kementerian dan Agensi; dan

iii) Memberi akses kepada warga Kementerian dan Jabatan/Agensi untuk     memperoleh dan menyalurkan maklumat berkaitan isu-isu Governans, Integriti dan Antirasuah dengan lebih mudah dan tepat.

IIM juga berperanan untuk memberikan konsultasi dan nasihat kepada ketua badan awam dan swasta dalam mengenalpasti punca risiko kepada berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berhubung amalan, sistem dan tatacara kerja dalam organisasi masing-masing.

Selain itu, IIM juga bertindak sebagai institusi yang membantu proses rundingcara dan pelaksanaan beberapa inisiatif strategik anti-rasuah seperti, Penilaian Risiko Rasuah (CRA), Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016, Pelaksanaan Garis Panduan Tatacara Mencukupi, Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP), Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP), Taklimat-Taklimat Liabiliti Korporat (Seksyen 17A), Latihan Etika & Integriti, Penilaian Integriti Individu (IIP) dan mengkoordinasi sebarluas maklumat latihan konsultasi kepada ahli-ahli berdaftar dalam Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).

Kesemua inisiatif ini menjadi pencetus dalam usaha-usaha pencegahan rasuah di sektor swasta, badan korporat dan agensi Kerajaan. Keterlibatan semua pihak sangat kritikal dalam memastikan matlamat pembasmian rasuah dan pengamalan budaya integriti dapat dijayakan dengan sempurna. Selain itu juga, terdapat pelbagai langkah lain yang boleh diambil oleh setiap organisasi termasuklah analisa dan pengurusan untuk mengenalpasti potensi risiko rasuah, prosedur pelaksanaan untuk menetapkan dan menambahbaik tadbir urus serta amalan-amalan anti-rasuah serta sistem pemantauan untuk memastikan penambahbaikan secara berterusan.

Usaha menambahbaik sistem pengurusan dalaman organisasi bukan sekadar setiap tahun di mana ianya disambut pada Hari Integriti Nasional setiap bulan November, namun ianya perlu dilaksanakan setiap masa dan di mana jua tindakan kita sebagai individu dalam organisasi.

Pandemik #Covid-19 telah merubah paradigma baharu dari segi tatacara budaya kerja dan norma sosial masyarakat. Namun keberhasilan produktiviti negara hendaklah senantiasa menjadi keutamaan demi kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara. Selamat menyambut Hari Integriti Nasional 2020 dengan bertemakan: “Integriti Penentu Kejayaan Budaya Kerja Norma Baharu”.

Tan Sri Mohd Zuki Ali
Pengerusi
Institut Integriti Malaysia (IIM)

Total Visits: 943699