KUALA LUMPUR, 8 Februari 2018: Dalam memperjuangkan agenda integriti, terdapat pelbagai cara atau kaedah yang boleh diguna pakai. Ianya tidak tertakluk kepada kaedah pembelajaran secara khusus atau yang serius mahupun siri taklimat dan ceramah semata-mata.

Justeru, Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) mengambil inisiatif menyebar luas mesej integriti kepada masyarakat dengan menganjurkan Program Integrity Art Night, sekali gus  menarik minat para penggiat seni untuk bersama-sama INTEGRITI memupuk budaya berintegriti dalam kalangan rakyat negara ini selari dengan objektif Pelan Integriti Nasional (PIN).

Program Integrity Art Night malam tadi menampilkan Komedi Berdiri Integriti yang dijayakan oleh penerbit, pelawak, penulis skrip, pelakon, pengacara dan penyanyi yang tidak asing lagi iaitu YBhg Dato’ Afdlin Shauki dan Nizam Jentik-Jentik, pelawak dan peserta Separuh Akhir Program Lawak Solo Astro 2016, yang pernah dibimbing oleh YBhg Dato’ Afdlin sendiri.

Selaku ahli panel utama YBhg Dato’ Afdlin berkongsi pengalaman beliau mengenai kepentingan nilai-nilai integriti untuk disalurkan melalui platform komedi.

Beliau berkongsi pengalaman beliau menerusi segmen Dialog Komedi Reflek Integriti yang dikemudi oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBhg Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Nizam Jentik-Jentik menyampaikan persembahan ‘Standup Comedy” hampir 30 minit.

Kedua-dua YBhg Dato’ Afdlin dan Nizam telah berjaya menggunakan bakat masing-masing bagi menyampaikan mesej kepentingan budaya berintegriti dalam hidup setiap orang.

Antara lain Nizam berkata, setiap individu perlu mengutamakan budaya berintegriti dan ia harus bermula dari kecil dan di peringkat keluarga.

“Ini yang saya selalu tekankan. Kita perlu memulakan perkara ini. Keluarga tempat yang penting bagi memupuk budaya berintegriti.

“Misalnya bila hendak membuang sampah, jika tidak ada tong sampah, saya akan minta jangan buang sampah merata tempat, simpan dalam poket hingga kita jumpa tong sampah… ini antara nilai yang kita perlu tekankan,” kata beliau yang memikat pada hadirin.

Dalam pada itu, YBhg Dato’ Afdlin pula berkata, platform komedi mempunyai kelebihan dan kekuatan sendiri dalam menyampaikan mesej-mesej ‘berat’ seperti kepentingan budaya berintegriti.

“Mereka yang terlibat dalam komedi mempunyai kelebihan… mereka lebih ‘powerful’ berbanding mereka yang terlibat dalam politik kerana mereka menghiburkan khalayak dengan menyediakan konteks… ini kelebihan mereka,” kata beliau sambil menekankan bahawa mereka yang terlibat dalam industri komedi perlu mengutamakan integriti dengan tidak menciplak idea orang lain.

Dalam pada itu, YBhg Datuk Dr. Anis Yusal berkata, INTEGRITI yakin penganjuran program berbentuk santai ini dapat dijadikan ruang permulaan untuk perbincangan mengenai pengaruh komedi sebagai antara medium penting bagi membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, program ini juga boleh dijadikan asas untuk  mendapatkan sokongan para artis tanah air untuk sama-sama membantu INTEGRITI menyebarluaskan mesej integriti.

Justeru, berdasarkan kepada perkembangan industri komedi yang semakin pesat di Malaysia, INTEGRITI melihat ia sebagai langkah yang amat baik jika komedi dan integriti dapat digabung jalin agar dapat menjadi medium yang paling berkesan untuk mendidik masyarakat dalam membudayakan integriti terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja. Program Integrity Art Night malam tadi dihadiri lebih 100 orang daripada pelbagai latar belakang masyarakat.