KUALA LUMPUR: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) mengalu-alukan dasar Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana beliau telah mengumumkan beberapa pendekatan bagi memperkukuhkan tadbir urus baik dan integriti, di samping mahu memerangi isu rasuah dengan menyeluruh.

INTEGRITI juga menyambut baik penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), yang diumumkan semalam, bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan anti rasuah di negara ini.

INTEGRITI yakin usaha-usaha terbaharu ini akan bertindak sebagai satu pendekatan yang lebih komprehensif dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang berintegriti tinggi.

INTEGRITI menyokong dan memberi kerjasama serta sedia berganding untuk melaksanakan dasar dan program Kerajaan bagi menjayakan agenda memperkukuh nilai-nilai integriti sebagaimana digariskan selari dengan objektif Pelan Integriti Nasional (PIN). Dalam hal ini, INTEGRITI juga berharap semua pihak akan terus memberi sokongan padu bagi mencapai matlamat PIN dan visi INTEGRITI dengan lebih berkesan.

Pada 31 Mei 2018 lalu, INTEGRITI telah berkongsi input dengan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) berkaitan dengan cadangan penggubalan Akta Pembiayaan Politik (PDEA).

 

INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA (INTEGRITI)
2 JUN 2018