Dengan segala hormatnya, para hadirin diminta mengambil perhatian bahawa perbuatan-perbuatan berikut akan menjejaskan integriti diri sendiri dan organisasi, malah adalah kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau Kanun Keseksaan atau mana-mana Akta yang berkaitan dan juga Perlembagaan Malaysia:

1. Menggunakan dana atau wang pejabat untuk kepentingan peribadi;

2. Memperoleh wang, barang atau perkhidmatan secara paksa daripada pelanggan;

3. Menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan bagi khidmat yang diberikan;

4. Terlibat secara langsung dalam proses pemberian kontrak kepada anggota keluarga dan kepada mereka yang ada kepentingan dengan diri anda;

5. Terlibat secara langsung dalam proses melantik anggota keluarga untuk mengisi kekosongan jawatan di organisasi kita bekerja;

6. Mengemukakan tuntutan penginapan meskipun kemudahan penginapan disediakan oleh pihak penganjur;

7. Mengambil atau menggunakan kemudahan pejabat (sebagai contoh ‘thumb drive’ dan sebagainya) untuk kegunaan peribadi atau keluarga;

8. Jika anda seorang anggota atu pegawai penguat kuasa, adalah salah jika menggunakan ancaman dan atau intimidasi bagi mendapatkan wang, barangan atau perkhidmatan;

9. Menggunakan kuasa dan atau kedudukan untuk mendapatkan manfaat atau faedah yang tidak sah;
10. Memberi wang atau insentif untuk memperoleh dan atau membeli undi;

11. Menggunakan media sosial bagi tujuan meluahkan ketidakpuasan hati terhadap Jabatan dan atau Organisasi dan membocorkan rahsia Jabatan dan atau Organisasi;

12. Meminta orang politik dan atau kenamaan untuk mempengaruhi urusan berkaitan pekerjaan (contoh, pelantikan, pertukaran, kenaikan pangkat dan sebagainya);

Senarai di atas hanya sebahagian daripada sejumlah tindakan, sama ada yang termaktub dalam undang-undang ataupun tidak, yang tidak wajar dilakukan dan sebaliknya harus bertindak jujur pada sebarang masa dengan penuh amanah, jujur dan mengamalkan budaya berintegriti.

INTEGRITI DI HATI
Sekian, terima kasih

Versi 2.1 21 DISEMBER 2017