Pelan Integriti Nasional (PIN) telah dilancarkan pada 23 April 2004 dan merupakan pelan terperinci untuk mencapai cabaran keempat yang digariskan dalam Wawasan 2020 iaitu “Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”.

Pada tarikh yang sama, Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) telah dilancarkan untuk menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan PIN. Pelan ini memberi tumpuan kepada lapan institusi utama iaitu keluarga, komuniti, masyarakat sivil, sosiobudaya, agama, ekonomi, politik dan pentadbiran.

Sepanjang sedekad penubuhannya, INTEGRITI telah menganjur dan mengadakan pelbagai program dan aktiviti di seluruh daerah dan negeri termasuk di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam usaha mempromosi dan mewujudkan kesedaran ke arah mencapai wawasan negara iaitu untuk menjadi sebuah negara yang berintegriti tinggi.