Pelan Integriti Nasional adalah satu pelan holistik yang bertujuan untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berintegriti tinggi melalui pengukuhan sistem integriti nasional berdasarkan model INTEGRITI sendiri yang dikenali sebagai The Turtle Model. Model ini terdiri daripada lapan institusi:

Dalam Model Penyu yang melatari Pelan Integriti Nasional, ‘penyu’ diambil sebagai suatu metafora yang diilhamkan oleh kekhususan rantau ini dan mencerminkan persoalan integriti. Ia mengambil kira empat unsur penting iaitu: (a) ekosistem dan sejarah Nusantara yang mana Malaysia ialah sebahagian daripadanya;  (b) kewujudan dan sifat-sifat penyu, sejenis haiwan yang sinonim dengan rantau ini dan merupakan ikonnya; (c) nasib yang menimpa haiwan berkenaan; dan (d) apa yang harus kita lakukan demi kelangsungan masa hadapan penyu, yang melambangkan kelangsungan kehidupan generasi-generasi akan datang. Soal integriti terkandung secara tersurat dan tersirat di dalam keempat-empat perkara ini.

Ekosistem dan sejarah Nusantara amat penting dan bersifat hakiki di sini. Sebarang pelan atau model untuk berjaya – seperti ditegaskan di atas — harus mengambil kira dan bersebati dengan sejarah dan ekosistem masyarakat dan negara tempat ia diterapkan. Ertinya, di samping ia mencerminkan ciri-ciri universal, ia perlu mempunyai ciri-ciri khas yang memanifestasikan kekhususan setempat. Justeru, pembinaan Pelan Integriti Nasional dan Model Penyu memang berakar-umbikan sejarah dan ekosistem Nusantara dan Malaysia.

Selain warisan kepelbagaian tamadun di Nusantara, rantau ini juga mempunyai kepelbagaian faunanya termasuk haiwan penyu. Penyu memang bersebati dengan lautan dan kepulauan Nusantara dan ia menjadi ikon rantau ini. Cuba kita teliti ciri-ciri penyu yang menjadi ilham model ini. Penyu ialah haiwan laut yang melambangkan ketekunan bekerja, produktif, mempunyai daya tahan, tabah, amat rendah hati dan panjang usia. Walaupun kelihatan lamban di daratan, penyu sebenarnya pantas di lautan dan tidak pernah kehilangan arah walaupun terpaksa meredah lautan luas. Tanpa menghiraukan susah payah, si penyu akan muncul di pantai yang sama untuk bertelur, yakni menghasilkan bibit-bibit untuk kesinambungan nyawa bagi kehidupan generasi seterusnya.

Namun dalam interaksi di antara penyu dengan manusia, apa yang terjadi kepada penyu dan kepada telur yang dihasilkan penyu itu sangat penting. Akibat perbuatan manusia yang tamak dan tidak betanggungjawab, beberapa spesis penyu semakin pupus atas pelbagai sebab, manakala telurnya yang dihasilkan di pantai juga turut terancam. Keadaan ini membayangkan keadaan yang sama seperti yang dihadapi integriti dalam kehidupan sebenar. Hasil daripada jerih payah sang penyu, telur yang menjanjikan kehidupan sering diancam oleh kerakusan dan sifat mementingkan diri manusia. Justeru, telur penyu  harus dilindungi sehingga ia menetaskan anak-anak penyu yang kemudian dilepaskan ke laut untuk meneruskan kehidupan dan menceriakan alam.

Mesej daripada metafora penyu kepada usaha integriti memang jelas. Integriti perlu dipupuk, dikawal dan dilindungi agar ia dapat subur dan berkembang, tidak diancam kepupusan akibat kerakusan manusia. Untuk itu, suatu sistem integriti yang mantap perlu diwujdkan kerana integriti merupakan nyawa atau jiwa kehidupan kini dan masa hadapan.

Mengenai bagaimana melaksanakan Agenda Integriti, kita harus melihat bahagian-bahagian yang membentuk Model Penyu dan peranan masing-masing.  Secara ringkas, Model Penyu terbentuk daripada lapan institusi yang saling berkait dengan terbahagi kepada tiga bahagian. Di bahagian kepala terletak tiga institusi utama — Pentadbiran, Politik dan Ekonomi. Bahagian ini menjadi bahagian utama yang memacu model ini ke hadapan. Ia terdiri daripada institusi yang mentadbir negara (Pentadbiran), institusi yang mengurus kuasa (Politik), dan institusi yang mengurus dan mengagihkan kekayaan ekonomi negara (Ekonomi). Ketiga-tiga amat rapat hubungannya. Sekiranya mereka yang menerajui dan memacu bahagian hadapan atau kepala ini mempunyai integriti yang tinggi, mempunyai sifat jujur, amanah, cekap, adil, telus dan bertanggungjawab – yakni mereka yang melakukan sesuatu itu kerana ia betul serta dilaksanakan dengan cara yang betul — maka negara dan masyarakat yang dipimpinnya mempunyai harapan besar untuk maju dan makmur berlipat kali ganda. Sekiranya salah satu daripada institusi itu, apalagi sekiranya ketiga-tiga institusi berkenaan diserobot oleh mereka yang mempunyai agenda sendiri yang berjuang untuk kepentingan diri dengan berselindung di sebalik nama negara dan rakyat, maka negara dan masyarakat akan menerima padah buruknya.

Selanjutnya bahagian tengah Model Penyu sangat penting dan strategik. Di bahagian ini terdapat tiga institusi yang boleh dianggap sebagai inti atau paling asas kerana ia membentuk landasan kepada model ini. Ketiga-tiga institusi ini ialah Keluarga, Komuniti dan Masyarakat Sivil. Keluarga merupakan unit asas masyarakat, yang melahirkan, memupuk, mensosialisasikan dan mendewasakan generasi baru. Ia amat penting dalam proses kesinambungan dan pergantian generasi. Asuhan dan sentuhan keluarga adalah asas untuk membentuk peribadi dan menyuntik nilai-nilai murni kepada anggota keluarga berkenaan. Keluarga pula wujud dalam lingkungan Komuniti dengan nilai-nilai kebersamaannya; kewujudannya di sekeliling Keluarga memberi semacam perlindungan, perhatian dan sokongan kepada Keluarga.

Selain itu, terdapat institusi Masyarakat Sivil. Masyarakat Sivil bergerak dengan menggunakan  ruang yang terbuka di antara Keluarga di satu pihak dengan institusi negara (yakni Pentadbiran dan Politik) serta Ekonomi di pihak lain. Lazimnya, jarak antara pusat (negara) dengan lapisan yang paling bawah adalah jauh, dan jarak ini harus didekatkan.  Oleh sebab jarak sedemikian, maka kedua-dua institusi iaitu Komuniti dan Masyarakat Sivil yang dekat dengan akar umbi serta mewakili kepentingan dan isi hati mereka harus berperanan sebagai penyalur maklumat dan pandangan serta sebagai pendesak dan pengkritik bagi memastikan hala tuju negara tidak terpesong dan kepentingan rakyat khususnya mereka yang berada pada akar umbi terbela.

Untuk mengimbangi bahagian hadapan dan tengah, di bahagian ekor atau kaki Model Penyu terdapat dua institusi yang kritikal dan berfungsi sebagai pengemudi yang memberi pedoman dan bimbingan kepada semua institusi lain, iaitu Agama dan Sosiobudaya. Sosiobudaya yang di dalamnya terdapat pendidikan, budaya, bahasa dan lain-lain mencorakkan individu dengan norma, nilai, sikap, pandangan hidup dan identiti tertentu. Namun, apa yang boleh diberikan oleh institusi Sosiobudaya dalam pembangunan integriti keluarga dan individu dan bahkan seluruh sistem integriti itu tidak memadai. Ia harus dilengkapi oleh suatu lagi institusi yang bersifat kerohanian iaitu Agama. Institusi Agama menjelaskan siapa Maha Pencipta, institusi yang membentuk nilai dan rukun mengenai benar dan salah, baik dan buruk, dosa dan pahala, dunia dan akhirat, syurga dan neraka. Ia juga mengajar insan supaya tetap jujur berpegang kepada prinsip integriti lebih-lebih lagi apabila orang lain tidak melihatnya kerana Tuhan yang Maha Esa tetap maha mengetahui dan maha melihat.

Institusi Keluarga, Komuniti, Agama dan Sosiobudaya, merupakan empat institusi yang begitu penting bagi masyarakat Timur. Institusi-institusi ini wujud semenjak zaman berzaman sehingga zaman moden. Namun pada zaman moden ini, institusi Masyarakat Sivil pula muncul dan berfungsi untuk saling melengkapi keempat-empat institusi tradisi tadi. Ini menunjukkan gabungan yang berlaku antara tradisi dengan pemodenan di peringkat bawah atau akar umbi masyarakat. Dilihat secara keseluruhan dan perbandingan, nyata sekali kewujudan ketiga-tiga institusi di bahagian tengah Model Penyu, iaitu Keluarga, dengan diapit oleh Komuniti dan Masyarakat Sivil serta dua institusi pengemudi (Agama dan Sosiobudaya) di bahagian kaki Model Penyu membezakannya dengan jelas daripada model-model lain seperti The Greek Temple Model dan The Bird’s Nest Model.

Selain perkara di atas, ada satu aspek lagi yang membezakan Model Penyu dengan model-model lain. Perbezaan ini sangat penting kerana ia berkaitan dengan pelaksanaan model ini. Dalam Model Penyu, kesemua lapan institusi yang membentuknya dibangunkan dengan mempunyai pelan tindakan masing-masing. Pelan Tindakan ini mengandungi program, strategi, aktiviti dan kumpulan sasar serta agensi pelaksananya. Pelan tindakan ini boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan, cabaran integriti yang wujud, selain prestasi dan pengalaman dalam pelaksanaan pelan tindakan itu. Namun prinsip dan matlamat asas untuk menjadikan integriti budaya masyarakat serta gerakan integriti suatu gerakan yang menyeluruh untuk membangun sebuah masyarakat yang luhur nilai-nilainya, berdaya saing dan maju tetap tidak berubah.