NOTA: DIIRINGI FOTO

GEORGE TOWN, 16 Oktober 2017: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) meneruskan penganjuran Roadshow INTEGRITI 2017, di mana pada hari ini program ini telah diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

Roadshow INTEGRITI 2017 merupakan salah satu mekanisme INTEGRITI untuk membantu kerajaan-kerajaan negeri menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti selari dengan objekif Pelan Integriti Nasional, di mana ia dapat memberi gambaran jelas dalam perencanaan program atau aktiviti integriti agar lebih tersusun, terarah dan sistematik serta meninggalkan kesan dan impak yang menyeluruh ke atas kumpulan sasaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, YBhg Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, dalam usaha membudayakan agenda integriti, INTEGRITI menggunakan Roadshow INTEGRITI untuk memperkenalkan produk dan instrumen yang dibangunkan oleh INTEGRITI iaitu Dashboard INTEGRITI, Integrity Assessment Tools, Malaysian Integrity Profile, Pelan Integriti Organisasi dan Pembangunan Integriti Bersama Komuniti.

Kata beliau, menerusi Roadshow INTEGRITI 2017 segala maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri akan dimuat naik dalam sistem yang dinamakan sebagai Dashboard INTEGRITI, yang merupakan satu paparan dalam bentuk pembangunan analisa yang berinformatif dan interaktif.

Melalui sistem itu, maklumat yang disediakan dapat dikongsi bersama bagi tujuan rujukan dan tindakan agensi-agensi pelaksana.

“INTEGRITI menghargai sokongan yang diperlihatkan oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam memperkukuh budaya berintegriti tinggi. Penganjuran bersama Roadshow INTEGRITI 2017 adalah satu contoh. Justeru kami mengalu-alukan pandangan dan cadangan bernas yang berterusan daripada semua pihak,” kata Datuk Dr Anis Yusal.

Datuk Dr Anis Yusal juga berkata, INTEGRITI sedang membangunkan dua instrumen baharu iaitu persijilan integriti dan tanggungjawab sosial (I-SR) dan persijilan latihan integriti bagi meningkatkan program pembudayaan, penghayatan dan pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan amalan integriti.

“INTEGRITI sudah ada enam produk dan instrumen setakat ini. Kami hendak membangunkan dua lagi instrumen bagi menawarkan platform yang lebih menyeluruh,” kata beliau kepada pemberita. Dua instrumen itu dijangka akan dapat diperkenalkan pada tahun depan.

Program Roadshow INTEGRITI 2017 hari ini dianjurkan dengan kerjasama Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan USM.

Majlis perasmian yang diadakan di Kampus Induk USM ini disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Farizan Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Farizan berkata, menjadi harapan beliau agar semua pihak berganding bahu untuk mengamal, menghayati dan mendukung tindakan-tindakan yang boleh membantu ke arah budaya berintegriti tinggi.

“Pembudayaan integriti bukan sahaja jatuh pada mahu institusi kerajaan, tetapi semua pihak tidak kira kedudukan dan latar belakang perlu memainkan peranan masing-masing,” kata beliau sambil menambah, “amalan budaya berintegriti bukan sahaja melibatkan waktu kerja dari 8 pagi hingga 5 petang, sebenarnya sepanjang 24 jam sehari.”

Menariknya, Roadshow INTEGRITI di Pulau Pinang juga menyaksikan INTEGRITI dan USM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). Antara lain, MoU yang ditandatangani ini bagi mencapai perkara-perkara berikut:

  1. penyelidikan bersama dalam mewujudkan organisasi berintegriti yang bebas dari segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan secara berterusan;
  2. penyertaan bersama dalam mewujudkan persefahaman dan berkongsi pengalaman dalam aspek khidmat rundingan, latihan, pendidikan serta usaha-usaha peningkatan amalan etika dan integriti di Malaysia;
  3. mewujudkan persefahaman serta bersepakat untuk bekerjasama dalam menyemai dan membudayakan integriti sebagai amalan hidup dalam kalangan pegawai pentadbir, staf akademik, para pelajar dan pihak-pihak berkepentingan USM; dan
  4. memperkasakan Unit Integriti dan Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa USM

Mengulas mengenai MoU itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail menyifatkan ia sebagai usaha penting untuk berganding menangani cabaran dan isu berkaitan integriti dan membina strategi lebih mantap ke arah pencapaian matlamat integriti demi masyarakat masa hadapan yang lebih mantap dan jitu.

Datuk Dr Anis Yusal berkata, perkembangan hari ini juga memperlihatkan masyarakat pelbagai peringkat sudah mula menerima kepentingan membudayakan nilai-nilai berintegriti.

“Inilah harapan kami apabila memutuskan untuk mengadakan Roadshow INTEGRITI.

“Setiap persinggahan sepanjang program ini diharap akan memperlihatkan kelainan dari segi penerimaan dan akhirnya mencapai matlamat dan sasaran Pelan Integriti Nasional,” kata beliau yang turut membuat pembentangan mengenai isu dan cabaran integriti.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Pejabat SUK Pulau Pinang dan USM atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan Roadshow INTEGRITI di peringkat Negeri Pulau Pinang.

Roadshow INTEGRITI juga menggunakan pendekatan perbincangan meja bulat membabitkan peserta yang terdiri daripada rakyat semua lapisan masyarakat bagi mengenal pasti isu-isu utama yang menyumbang kepada pelanggaran integriti dan mengemukakan cadangan penyelesaian membina.

KETERANGAN FOTO:

foto-satu-roadshow

 Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, YBhg Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail menunjukkan MoU yang ditandatangani sambil diperhatikan oleh YB Dato’ Seri Farizan Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Turut hadir (dari kanan) Penasihat Undang-undang USM, Dr Khairul Anuar Che Azmi dan Pengarah dan Ketua Penyelaras Program Koordinasi dan Pemantauan INTEGRITI, Tn Haji Hamilye Sham Haruan.

foto-dua-roadshow

 Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, YBhg Datuk Dr Anis Yusal Yusoff mengatakan sesuatu mengenai buku politik dan integriti kepada YB Dato’ Seri Farizan Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas majlis perasmian Roadshow INTEGRITI 2017 di USM hari ini. Bersama mereka adalah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.


Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Dr G Manimaran, Pengarah Program Komunikasi, Pusat Komunikasi, Program Bitara & Antarabangsa di talian 012-3081355 atau 03-62092050 atau menerusi e-mel manimaran@integriti.my.