NOTA: DIIRINGI FOTO

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), YBhg Datuk Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff hari ini memperkenalkan Taklimat Integriti atau Integrity Briefing seperti mana yang biasa dilakukan melibatkan aspek keselamatan bangunan pada sesuatu program atau majlis yang diadakan.

Dalam ucapan beliau pada sesi perasmian Dialog Integriti ASEAN 2017 (AID 2017) di Kuala Lumpur hari ini,

Datuk Dr Anis memperkenalkan Taklimat Integriti yang disaran untuk digunakan oleh semua pihak sebagai usaha untuk memperingati masyarakat tentang perkara-perkara yang didapati melanggari peraturan dan undang-undang.

Antara peringatan yang terkandung dalam Taklimat Integriti yang disyorkan ini adalah tindakan- tindakan melanggar peraturan apabila mengemukakan tuntutan, menggunakan peralatan atau kelengkapan pejabat bagi kegunaan peribadi, dan menggunakan kedudukan atau jawatan bagi mendapatkan faedah-faedah tertentu.

“Lazimnya kita melihat ada Taklimat Keselamatan, tetapi aspek budaya berintegriti yang penting tidak dititikberatkan sebelum ini. Oleh itu, adalah dicadangkan sebelum sesuatu majlis dimulakan, seperti mana taklimat keselamatan, elok juga untuk diberi peringatan tentang kesalahan-kesalahan berkaitan integriti,” kata beliau.

Malah salah satu resolusi daripada AID 2017 adalah menyatakan sokongan ke atas cadangan mengamalkan Taklimat INTEGRITI dan disaran untuk diangkat ke peringkat negara-negara ASEAN. Datuk Dr Anis berkata, INTEGRITI bersedia untuk berkongsi kandungan Taklimat Integriti kepada semua pihak memandangkan mewujudkan budaya berintegriti sangat mustahak. “Ini kerana usaha memupuk budaya berintegriti tinggi bukan hanya terletak di bahu agensi atau institut seperti INTEGRITI tetapi memerlukan peranan bersama semua lapisan masyarakat,” kata beliau.

Atas dasar berkongsi amalan-amalan baik dan mengamalkan tadbir urus yang baik dan berdasarkan nilai sejagat, INTEGRITI, yang matlamat akhirnya untuk membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan mempunyai nilai-nilai murni sejagat, menganjurkan AID 2017 hari ini.

“Usaha pemupukan budaya ini adalah kerja berterusan dan berjangka panjang,” kata beliau. “Kami berharap Dialog ini akan terus meningkatkan kerjasama serantau dan melibatkan rakyat ASEAN ke arah menggalakkan tadbir urus yang baik melalui nilai sejagat,” kata Datuk Dr Anis dalam kenyataan media dikeluarkan sempena AID 2017.

AID kali pertama telah diadakan pada tahun 2008 manakala yang kedua pada tahun 2015. AID 2008 memfokus tema “Kerjasama Serantau Untuk Memperkukuhkan Integriti dan Memperkuatkan Kepercayaan” manakala dialog dua tahun lalu membincangkan tema “Kerjasama Serantau Meningkatkan Integriti Menerusi Pengajian Tinggi”.

Susulan kejayaan dua pertemuan yang lalu, kata beliau, AID 2017 dianjurkan dengan tiga objektif iaitu (i) membincangkan dan berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pengajaran mengenai peranan nilai sejagat dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, (ii) menyediakan platform untuk bertukar idea dan tindakan untuk memupuk nilai sejagat dan mempromosikan Komuniti ASEAN yang inklusif, dan (iii) mengukuhkan rangkaian strategik dan persekutuan antara institusi dan individu yang integriti juara di negara-negara ASEAN.

AID 2017 bertemakan “Reinventing Good Governance Through Universal Values” (Memupuk Tadbir Urus Baik Melalui Nilai-nilai Sejagat). YBhg Datuk Dr Anis juga berkata AID 2017 akan menjadi landasan kukuh bagi negara-negara anggota ASEAN untuk meningkatkan kerjasama dan pemahaman mereka dalam bidang pengukuhan tadbir urus yang baik melalui penerapan nilai-nilai sejagat, dengan demikian mempromosikan budaya kerjasama, keamanan dan keharmonian di rantau ini, dan menjadikan integriti satu cara hidup.

AID 2017 telah menghimpunkan tokoh-tokoh dan pakar-pakar ternama dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Lao PDR, Vietnam, Kemboja dan Singapura. YBhg Datuk Dr Anis yang berkongsi pengalaman dan produk-produk dibangunkan

INTEGRITI berkata, mantan Setiausaha Agung ASEAN, Tan Sri Dr Surin Pitsuwan menyampaikan ucaptama di bawah tajuk “Value Based Approach To Promote Good Governance and Integrity” (Pendekatan Berasaskan Nilai Bagi Mempromosikan Tadir Urus Baik dan Integriti).

Pembentangan panel bertemakan “Mapping Solutions: Effective Tools for Improving Public Services

– Country Experiences” (Pemetaan Penyelesaian: Instrumen Efektif Bagi Mempertingkatkan Perkhidmatan Awam – Pengalaman Negara Masing-masing) akan dikupas oleh Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Dato’ Dr Mazlan Yusoff.

Pembentang yang lain terdiri daripada Timbalan Pencegahan Komisi Pemberantasaan Korupsi Indonesia, Pahala Nainggolan; Pakar Akademik Kanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan Thailand, Dr Sirilaksana Khoman dan Penolong Ombudsman, Pendakwa Raya, Maklumat, Penilaian dan Perkhidmatan Pemantauan, Pejabat Ombudsman, Filipina, Maribeth T. Padios.

Dalam pada itu, Lao PDR diwakili oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Asia, Universiti Kebangsaan Laos, Prof Madya Dr Bouadam Sengkhamkhoutlavong; Pensyarah Fakulti Pentadbiran Awam, Akademi Nasional Pentadbiran Awam Vietnam, Ha Thu Quyen; Pakar Perunding Bank Dunia Kemboja dan Felo Adjung Pusat Penyelidikan Pertumbuhan Asia, Singapura, Dr Sothea Oum dan bekas Pegawai Pendakwa Raya, Kementerian Sumber Manusia, Singapura, Prabhinder Singh.

Majlis penutup AID 2017 disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Paul Low Seng Kuan. Dalam pada itu, Tan Sri Dr Surin dalam ucaptamanya antara lain berkata, beliau menyambut baik dan menghargai peranan dimainkan oleh INTEGRITI dalam memupuk budaya berintegriti khusunya dari peringkat tadika.

Dengan merujuk kepada Modul Integriti Prasekolah (MIPs) yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr Surin berkata, INTEGRITI telahmengambil langkah- langkah murni lagi membina ke arah melahirkan komuniti berintegriti.“Tadbir urus baik adalah penting bagi membantu rakyat melepasi kitaran kesukaran hidup,” kata beliau yang kali kedua hadir dan menyampaikan ucaptama pada AID. Kali pertama adalahsemasa menjawat jawatan Setiausaha Agung ASEAN pada tahun 2008.

KETERANGAN FOTO

Felo Utama Institut Integriti (INTEGRITI) Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong (kiri) menyerahkan dokumen resolusi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan sambil diperhatikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (INTEGRITI) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff (kanan).

Felo Utama Institut Integriti (INTEGRITI) Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong (kiri) menyerahkan dokumen resolusi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan sambil diperhatikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (INTEGRITI) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff (tengah).