Profesor Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong ialah Profesor Emeritus Sosiologi Pembangunan dan Felo Utama di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga dilantik sebagai Felo Utama INTEGRITI untuk tempoh tiga tahun bermula 2015, jawatan felo yang pertama kali diwujudkan di INTEGRITI.

Beliau telah memegang jawatan Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) selama 10 tahun (2000-2010). Semenjak itu, beliau dilantik sebagai Penasihat Khas PSSM sehingga kini. Sebagai seorang penyelidik yang berwibawa, Profesor Dato’ Dr. Abdul Rahman telah menjayakan banyak penyelidikan asas, gunaan dan strategik yang dibiayai oleh organisasi dalam negara serta antarabangsa. Antara sumbangan beliau yang penting ialah peranannya dalam memimpin pasukan pengkaji menggubal Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penyediaan kertas konsep Institut Integriti Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 23 April 2004.

Profesor Dato’ Dr. Abdul Rahman ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) semenjak penubuhannya pada 2005. Beliau menerima anugerah darjah kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) daripada KDYMM Sultan Terengganu pada Julai 2001 yang membawa gelaran Dato’.

Selain itu, beliau turut menyampaikan ucaptama dalam persidangan di peringkat dalam negara dan luar negara serta menulis banyak artikel untuk jurnal serta bab dalam buku. Beliau juga telah menghasilkan lebih 20 buah buku. Antaranya ialah State-led Modernization and the New Middle Class in Malaysia (2002); Negara-bangsa: proses dan Perbahasan (ed. 2, 2006); Pembangunan dan Kesejahteraan (2003); Malaysian Studies: Looking Back Moving Forward (2010); Sastera, Politik & Masyarakat (2013); Southeast Asian Middle Classes: Prospects for Social Change and Democratisation (2001-edited); Globalisation, Culture and Inequalities: In Honour of the Late Ishak Shari (2003-edited); Malaysia at a Crossroads: Can We Make the Transition? (2011- ed. bersama Tham Siew Yean); Transforming Malaysia: Dominant and Competing Paradigms (2014 – ed. bersama Anthony Milner & Tham Siew Yean); Changing Constellations in Southeast Asia: From Northeast Asia to China (co-ed. bersama Jan Nederveen Pieterse & Tham Siew Yean, 2017).

Total Visits: 1189308