fdsfMelihat integriti sebagai isu serantau, perbincangan dan perkongsian maklumat antara negara amat penting bagi membolehkan nilai integriti subur dan berkembang mekar khususnya dalam bidang pendidikan. Menyedari akan hal itu, satu Dialog Integriti ASEAN (AID) 2015 telah diadakan pada 10 Disember lalu di Menara Integriti dengan bertemakan ‘Regional Cooperation in Enhancing Integrity Through Higher Education’.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Dr. Anis Yusal Yusoff, antara hasrat INTEGRITI menganjurkan program ini ialah untuk mengumpulkan input dan perkongsian pengalaman negara-negara jiran dalam mempertingkatkan integriti melalui institusi pengajian tinggi agar pendekatan yang sama boleh diadaptasikan di negara ini.

Sejak diadakan pada tahun 2008, AID 2015 merupakan yang kedua dianjurkan oleh INTEGRITI. Pada kali ini, ia dianjurkan bersama dengan Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dialog yang berlangsung selama separuh hari itu menampilkan 10 orang panel yang mewakili pelbagai negara; Pegawai Kanan Pendidikan Bahagian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Negeri Brunei Darussalam, En. Ali Hamdani HM Diah, Dekan Pelajar Universiti Brunei Darussalam, En. Saidai Hj. Hitam, Dewan Guru Besar Institut Pertanian Bogor, Indonesia, Prof. Dr. Ir. Yusuf Sudo Hadi, Kepala Pusat Studi Sosial Asia Tenggara, Universitas Gadjah Mada, Indonesia, Dr. Hermin Indah Wahyuni, Penasihat Undang-Undang Universiti Sains Malaysia, En. Khairul Anuar Che Azmi, Pro-Rektor Universiti Taungoo, Myanmar, En. Win Tint, Penolong Pengarah Perhubungan Tempatan-Antarabangsa dan Bahagian Maklumat, Kementerian Pendidikan, Myanmar, En. Htay Htay Khaing, Pengarah III, Pejabat Perkhidmatan Pembangunan Pelajar, Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina, En. Engr Ronaldo Liveta, Presiden Universiti Pertanian Negeri Pampanga Filipina, Dr. Honorio Soriano dan Cik Amporn Hutasit dari Thailand.

Dalam satu pembentangan, Prof. Dr. Ir. Yusuf mengetengahkan tentang lima prinsip Pancasila yang menjadi asas kepada pembentukan karakter masyarakat Indonesia selain menyatakan bahawa budaya agama dan pendidikan signifikan dalam pembangunan moral masyarakat. Justeru, untuk mempromosikan integriti menerusi pendidikan, prestasi akademik, kerja berkumpulan dan nilai kejujuran serta sikap menghormati perlu dipupuk dan disuburkan.

Ketika sesi dibuka kepada orang ramai, wakil Persatuan Thai di Malaysia, En. Hampsana sempat menyuarakan pendapatnya tentang keperluan memahami Maqqasid Syariah dalam kalangan pelajar kerana dalamnya terkandung nilai integriti. Sementara itu, wakil Persatuan Pelajar Indonesia di Malaysia, Cik Akita pula berpandangan bahawa pemimpin perlu memperlihatkan amalan yang baik bagi mempromosikan integriti.

Lanjutan daripada dialog dan sesi perbincangan antara wakil-wakil Negara ASEAN, masing-masing bersetuju supaya dialog seperti ini terus diadakan pada masa depan dengan INTEGRITI bakal menjadi tuan rumah bagi AID 2017. Sementara itu, semua hasil pembentangan AID 2015 juga disarankan agar diterbitkan sebagai jurnal. Persetujuan lain yang turut dicapai ialah mewujudkan blog atau laman web ‘agenda integriti serantau’ dan satu grup Whatsapp, dalam kalangan peserta bagi mengekalkan momentum kerjasama.

Total Visits: 1598264