CAS_jan_2016KUALA LUMPUR: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) akan mengemukakan kertas cadangan dasar mengenai keselamatan dan kebajikan penguatkuasa ketika bertugas kepada pihak kerajaan dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Anis Yusal Yusoff berkata, dasar itu merupakan antara pendekatan julung kali dilakukan institut itu untuk memberi perlindungan kepada penguatkuasa yang melaksanakan tugas dengan penuh integriti.
“Kita tidak ada satu dasar yang nak jaga orang-orang yang mahu menegakkan integriti dalam negara, apa yang kita beri. Memang mereka
boleh mengambil tindakan sendiri, namun dalam masa sama dari segi kerajaan apa yang boleh dilakukan.
“Ini permulaan, selepas ini perbincangan mendalam dan mungkin ada kajian. Kertas dasar itu kita akan kemuka kepada kerajaan,
bagaimana supaya orang yang berintegriti tidak menjadi mangsa kepada orang yang buat benda tidak baik,” katanya dalam sidang media
selepas Program Breakfast Talk bertajuk “Dasar Keselamatan dan Kebajikan Pegawai Penguatkuasa Semasa Menjalankan Tugas,” di
INTEGRITI di sini hari ini.
Dengan usaha mewujudkan dasar itu katanya, pegawai penguatkuasa dan penyiasat akan diberi perlindungan keselamatan supaya mereka berani untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut.
“Ini penting untuk semua masyarakat bersama membantu negara dan kalau ada orang yang buat ancaman, kita boleh perangi
bersama. “Saya rasa kajian ini tidak lama, hanya ini perlu dilakukan segera sebab kita tidak mahu lagi nyawa terkorban selepas ini. Kalau tidak
mampu selesaikan, mungkin boleh kurangkan,” ujar beliau.
Kertas cadangan dasar itu adalah hasil perbincangan dan kajian yang diadakan bersama semua agensi kerajaan terutama bahagian penguatkuasaan dan keselamatan. “Ada 21 agensi penguatkuasaan. Mungkin semua yang laksanakan tugas, terutama yang berisiko nyawa terancam perlu diambil kira, sebab itu dasar itu perlu datang daripada orang atasan.
“Kita ada menteri yang bertanggungjawab dan beliau akan bentang di Kabinet nanti. Ini perkara baru sebab sambil budayakan
integriti, kita kena faham bukan sahaja kita bercakap sahaja, tetapi benda lain pun perlu ditangani,” tambahnya.
Beliau juga yakin sistem melalui dasar berkenaan mampu diwujudkan dalam memastikan penguatkuasa melakukan tugas dengan lebih
integriti dan masyarakat akan akur dengan pelaksanakan peraturan yang ditetapkan.

Total Visits: 1569786