Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) memberikan sentuhan berbeza apabila membawa masyarakat melihat integriti dari kaca mata lensa sebuah filem pendek tempatan berjudul Mayhem. Bertemakan “Gobok Wayang Integriti: ‘Mayhem’ Persepsi Atau Integriti”, Integrity Art Night kali ini mengetengahkan konsep dua dalam satu iaitu mendidik sambil berhibur agar masyarakat menjadi lebih matang dalam menilai serta melihat sesuatu isu tanpa mudah membuat kesimpulan awal.

Untuk itu, tetamu yang hadir bukan sahaja dihidangkan dengan tayangan filem, tetapi turut berpeluang menyertai sesi diskusi ringkas bersama pengarah Mayhem dan juga naib Presiden FDAM, Syed Zulkifli Syed Masir bagi mengupas elemen-elemen integriti yang tersirat dalam filem berkenaan. Di samping itu, sesi tersebut turut membincangkan peranan filem dalam mendidik dan menyebarluaskan mesej integriti kepada masyarakat.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Dr. Anis Yusal Yusoff, selain mempromosikan integriti secara konvensional, adalah penting bagi INTEGRITI untuk sesekali memancing tumpuan masyarakat dengan memberikan sedikit kelainan dalam pendekatan yang digunakan. Ini kerana filem bukan sahaja medium yang rapat dengan masyarakat, tetapi juga mampu memberikan impak yang luar biasa.

Justeru, penganjuran program ini yang dihadiri oleh lebih 100 orang tetamu daripada pelbagai organisasi dan lapisan masyarakat dilihat sebagai langkah terbaik INTEGRITI untuk menjalinkan kerjasama berpanjangan dengan para aktivis seni tanah air khususnya penggiat filem bagi menyebarluaskan mesej integriti melalui seni, budaya dan warisan.

12687956_974902605940513_806654263564898394_n 12670168_974902659273841_8723919258572434317_n 12661811_974902319273875_2150024980884107807_n 12654547_974902585940515_9123615068742574684_n 12654466_974902332607207_6908076520026086697_n 12644907_974902525940521_8561946317914772126_n 12573827_974902499273857_4961008256632032377_n

Total Visits: 1593993