INSTITUT Integriti Malaysia (INTEGRITI) sedang menggubal standard pematuhan amalan integriti mengikut acuan Malaysia bagi memperkukuh penghayatan budaya berintegriti tinggi di kalangan semua lapisan masyarakat di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI Dr Anis Yusal Yusoff berkata pihaknya sedang mengambil usaha untuk memperkenalkan Sijil Pematuhan Integriti dan Tanggungjawab Sosial dan Sijil Latihan Integriti.

Katanya, kedua-dua instrumen itu akan dibangunkan dengan mengambil kira aspek sosiobudaya Malaysia.

Beliau berkata dalam dua tahun lalu INTEGRITI membangunkan sejumlah instrumen untuk tujuan memperkukuhkan amalan berkaitan dengan integriti.

“Jadi, kami sedang ambil usaha untuk memperkenalkan Sijil Pematuhan Integriti dan Tanggungjawab Sosial,” katanya.

Selain itu, katanya Sijil Latihan Integriti juga sedang dikaji.

“Sijil ini akan memandu kita dari segi pematuhan amalan budaya berintegriti mengikut acuan kita. Kami juga hendak melahirkan kumpulan terlatih bagi tujuan mengendalikan program integriti,” katanya pada program Roadshow INTEGRITI 2017 di Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang hari ini.

Ia dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Farizan Darus.

Dr Anis berkata meskipun ada beberapa instrumen yang serupa di peringkat antarabangsa tetapi ia tidak mengambil ciri, demografi dan persekitaran Malaysia.

“Jadi kami hendak membangunkan satu ukuran standard mengikut acuan kita,” katanya.

“INTEGRITI sudah ada enam produk dan instrumen setakat ini. Kami hendak membangunkan dua lagi instrumen bagi menawarkan platform yang lebih menyeluruh bagi mencapai matlamat memupuk budaya berintegriti,” katanya.

Enam produk dan instrumen yang dibangunkan oleh INTEGRITI iaitu Dashboard INTEGRITI, Integrity Assessment Tools, Malaysian Integrity Profile, Pelan Integriti Organisasi dan Pembangunan Integriti Bersama Komuniti.

INTEGRITI juga membangunkan Modul Integriti Prasekolah (MIPs) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk memupuk nilai integriti di peringkat tadika.

Roadshow INTEGRITI di Pulau Pinang hari ini juga menyaksikan INTEGRITI dan USM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), kata Dr Anis.

Antara lain, MoU yang ditandatangani ini akan menjalin kerjasama antara INTEGRITI dan USM dalam penyelidikan bersama dalam mewujudkan organisasi berintegriti yang bebas dari segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan secara berterusan, dan penyertaan bersama dalam mewujudkan persefahaman dan berkongsi pengalaman dalam aspek khidmat rundingan, latihan, pendidikan serta usaha peningkatan amalan etika dan integriti di Malaysia.

MoU itu juga bertujuan mewujudkan persefahaman serta bersepakat untuk bekerjasama dalam menyemai dan membudayakan integriti sebagai amalan hidup dalam kalangan pegawai pentadbir, staf akademik, pelajar dan pihak berkepentingan USM dan memperkasakan Unit Integriti dan Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa pusat pengajian tinggi itu.

Katanya, perkembangan hari ini juga memperlihatkan masyarakat pelbagai peringkat sudah mula menerima kepentingan membudayakan nilai berintegriti.

“Inilah harapan kami apabila memutuskan untuk mengadakan Roadshow INTEGRITI.

“Setiap persinggahan sepanjang program ini diharap akan memperlihatkan kelainan dari segi penerimaan dan akhirnya mencapai matlamat dan sasaran Pelan Integriti Nasional,” katanya.

Mengulas mengenai MoU itu, Naib Canselor USM, Profesor Dr Asma Ismail menyifatkan ia usaha penting untuk berganding menangani cabaran dan isu berkaitan integriti dan membina strategi lebih mantap ke arah pencapaian matlamat integriti demi masyarakat masa hadapan yang lebih mantap dan jitu. – 16 Oktober, 2017.

Sumber: The Malaysian Insight

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/18810/

Total Visits: 1139772