Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama  Persatuan Psikometrik Malaysia (MPA) telah menganjurkan Simposium Psikometrik Malaysia 2019 di Menara INTEGRITI, Kuala Lumpur.

Program yang bertemakan ‘Memaksimumkan Potensi Manusia Dengan Data Analitis’ ini diadakan sebagai platform perkongsian idea, ilmu dan kemahiran berkaitan pendekatan, metodologi, model serta teknik bagi data analisis di samping untuk memperkenalkan produk psikometrik Human Governance Profile (HGP) oleh IIM yang dapat menilai tahap tadbir urus seseorang individu.

Presiden MPA, Dr. Haniza Yon berkata, psikometrik memberikan impak yang besar kepada organisasi-organisasi kerajaan dan swasta di seluruh negara dalam pengambilan dan penempatan pekerja baharu serta kesesuaian individu kepada sesuatu pekerjaan.

“Malahan, pengambilan penilaian psikometrik secara berkala juga boleh membantu organisasi memantau perkembangan dan kecenderungan tahap integriti pekerja di samping mengenal pasti lebih awal sebarang risiko rasuah dan salah tadbir urus,” tambah beliau.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Puan Nor’afiza Saim, penggunaan pendekatan yang sesuai dalam organisasi dengan berdasarkan kepada penilaian risiko melalui pelaksanaan ujian psikometrik integriti seperti HGP terhadap kakitangan adalah penting bagi menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah ke arah mengoptimumkan prestasi organisasi.

Katanya lagi, HGP merupakan instrumen psikometrik integriti yang menilai sikap dan pengalaman berkaitan kepercayaan, kebolehpercayaan serta etika kerja yang meramalkan tingkah laku individu ketika berhadapan dengan isu integriti dan rasuah.

Pembangunan dan pelaksanaan HGP adalah selaras dengan aspirasi Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 yang menekankan pengukuhan proses tapisan integriti sedia ada khasnya bagi pegawai kerajaan serta tapisan pemilihan pengurusan tertinggi dalam badan berkanun dan syarikat-syarikat milik kerajaan.

Simposium ini turut menyaksikan upacara penukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara IIM dan MPA serta penganugerahan felo kehormat oleh presiden MPA kepada dua pakar antarabangsa yang banyak menyumbang kepada bidang Psikometrik di Malaysia iaitu Prof. Emeritus Mark D. Reckase dan Dr. Rense Lange.

Dr. Haniza turut berkata, IIM dipilih sebagai rakan kerjasama strategik MPA kerana aktif melaksanakan inisiatif yang melibatkan penggunaan psikometrik bagi meningkatkan prestasi sektor kerajaan dan swasta. Turut berlangsung adalah sesi forum Peranan Psikometrik Dalam Sektor Awam dan Kerajaan dengan ahli panel terdiri daripada Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff; Ketua Pegawai Strategik Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Encik Rahim Raduan; Ketua Pusat Rujukan Keusahawanan, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Dr. Harith Faruqi Shaari; dan Presiden MPA, Dr. Haniza Yon.

Total Visits: 1594063