Institut Integriti Malaysia (IIM) telah diberi kepercayaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menganggotai panel jawatankuasa pembangunan dan penambahbaikan Kod Etika Kontraktor Malaysia dan Pembangunan Modul Kursus Integriti Kontraktor. Selain IIM , jawatankuasa tersebut juga melibatkan ahli-ahli dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Unit Integriti Kementerian Kerja Raya (KKR) , Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Persatuan Kontraktor Bumiputra Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Bengkel pembangunan Kod Etika Kontraktor Malaysia dan Modul Kursus Integriti Kontraktor tersebut telah dijalankan selama tiga hari bermula dari 23 Ogos 2022 sehingga 25 Ogos 2022 di Melaka. IIM telah diwakili oleh En. Hafizdi bin Che Md. Akhir dan En. Fison Hamdi Ahmad.

Antara lain, Jawatankuasa ini telah berbincang mengenai penambahbaikan Kod Etika Kontraktor yang telah digunapakai semenjak tahun 2008. Selain itu, jawatankuasa yang dilantik juga bertindak menambahbaik dan mengemaskini struktur dan kandungan Modul Kursus Integriti Kontraktor yang diwajibkan kepada kontraktor yang baru memperolehi dan memperbaharui lesen dari CIDB.

Hasil daripada bengkel tersebut, draf baru Kod Etika Kontraktor telah berjaya disiapkan disamping banyak penambahbaikan terhadap Modul Kursus Integriti Kontraktor yang menyentuh kepada integriti dan etika kontraktor. Malah modul tersebut diperkemaskan lagi dengan penambahan elemen undang-undang liabiliti korporat dan garispanduan tatacara mencukupi. Secara keseluruhannya, penambahbaikan tersebut dilihat dapat membantu untuk memastikan industri pembinaan negara lebih berintegriti dan juga bebas rasuah. Selain itu, ianya juga diharap dapat membantu negara amnya dalam mengurangkan persepsi negatif terhadap sektor pembinaan negara.