YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif IIM telah mengadakan lawatan kerja dan kunjungan hormat ke atas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

Delegasi IIM telah disambut oleh YBrs. Pn. Hajah Shubanah Binti Yusuf, Timbalan SUK Johor (Bahagian Pemantauan dan Kesejahteraan Rakyat) dan En. Mohd Fahrul Khalid, Ketua Unit Integriti Pejabat SUK Johor.

Perbincangan yang diadakan antara lain menjurus kepada kerjasama penganjuran Anugerah Integriti, Governans dan AntiRasuah (AIGA) 2022 di peringkat negeri Johor pada tahun ini. Turut dibincangkan ialah cadangan perkongsian kepakaran IIM dalam membantu pihak SUK melalui program latihan dan advokasi dengan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (Akademi JCS).

Beberapa mesyuarat susulan akan diadakan bagi memperhalusi cadangan kerjasama IIM dengan SUK Johor dalam memastikan Integriti menjadi asas dan teras pembangunan masyarakat Malaysia.

Pegawai-pegawai kanan IIM seterusnya menghadiri Majlis Jalinan Ukhwah SPRM Johor sempena aidilfitri 2022 yang diadakan di Kompleks pejabat SPRM, Persiapan Tanjung, Johor.