YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif IIM telah mengadakan lawatan kerja libat urus dan kunjungan hormat ke atas YBhg. Datu Dr. Sabariah Putit, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, pada 14 Jun 2022.

Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan pelbagai bentuk kerjasama pintar antara IIM dan Kerajaan Negeri Sarawak terutama dalam memperkasakan ekosistem dan pembudayaan integriti negara.

Ini termasuk pelaksanaan Projek Rintis Community Integrity Building (CIB) IIM yang akan melibatkan empat (4) kawasan PBT di Sarawak iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Daerah Serian, Majlis Daerah Limbang dan Majlis Daerah Matu-Daro pada tahun ini. Projek CIB merupakan satu pendekatan akauntabiliti sosial yang akan dapat membantu mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian bersesuaian bagi meningkatkan tahap integriti komuniti dan persekitaran.

Selain itu, IIM juga menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat Sarawak dalam penganjuran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 Peringkat Kebangsaan. Kerajaan Negeri Sarawak merupakan rakan penganjur bersama bagi AIGA 2022.