YBhg. Datuk Wan Suraya, KPE Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menyampaikan perkongsian berkenaan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) dan Stakeholders Engagement bagi Kursus Corporate Directors’ Leadership and Integrity (CDLI) Siri 2/2022 anjuran Program Pengajian Ekonomi dan Kewangan Awam (PEKA), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada 27 September 2022.

Kursus CDLI ini melibatkan seramai 21 orang peserta terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dari pelbagai agensi, syarikat dan universiti antaranya Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Inisiatif CISM ini telah dilancarkan oleh IIM bersama-sama agensi peneraju yang lain seperti SPRM, Bursa Malaysia, SSM, Transparency International dan SC pada 14 September 2022.

Melalui CISM, pegawai-pegawai yang telah atau akan dilantik sebagai ALP dalam syarikat-syarikat berkepentingan Kerajaan, akan dapat memahami tugas dan tanggungjawab mereka sebagai ALP terutamanya di dalam pengukuhan integriti dan governans dalam agensi masing-masing. Para pegawai juga akan dapat lebih memahami tentang kepentingan pematuhan syarikat terhadap Liabiliti Korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Akta694).

Datuk KPE turut mengadakan dialog ringkas bersama para peserta bagi mendapatkan pelbagai idea dan cadangan bagi tujuan pelaksanaan program-program integriti dan governans secara lebih meluas di sektor awam dan swasta serta universiti dalam memperkasa ekosistem dan pembudayaan integriti dalam negara.

Hadir sama Ketua Seksyen Dasar, Pembangunan Produk dan Penyelidikan, Pn. Norashikin Baharudin dan Ketua Seksyen Pengurusan Integriti, En. Mohd Hafizdi Che Md Akhir.